Jumaat, 6 April 2012

BINCANGKAN HUBUNGAN ANTARA SIKAP, NILAI, KEPERCAYAAN DAN PENCAPAIAN INDIVIDU  DALAM ORGANISASI

 OLEH: NORSHAHRUL MARZUKI B. MOHD NOR



1.1       PENGENALAN

Sikap dalam memimpin sesebuah organisasi adalah sangat penting bagi membentuk sebuah organisasi yang cemerlang sama ada organisasi tersebut berorientasikan keuntungan mahupun yang tidak berorientasikan keuntungan (kebajikan). Justeru itu, secara rasionalnya sebuah organisasi yang mempunyai pemimpin yang mempamerkan sikap yang positif terhadap pekerja bawahan lazimnya akan mampu membentuk organisasi tersebut menuju gerbang kejayaan. Satu lagi elemen yang menjadi teras kejayaan sesebuah organisasi adalah motivasi yang tinggi di kalangan pemimpin dan juga para pekerja yang menjadi sebahagian daripada asset terpenting sesebuah organisasi bagi berdaya saing dengan organisasi yang lain. Oleh yang demikian, tugasan ini akan memberi ulasan terhadap empat perkara penting mengenai sikap dan motivasi dalam organisasi. Pertamanya adalah kepentingan sikap dan  motivasi pekerja dalam organisasi. Ianya akan memberi ulasan bagaimana peranan sikap dan motivasi mampu membawa kejayaan dalam sesebuah organisasi. Seterusnya ulasan ini akan  menumpu kepada faktor yang mempengaruhi sikap dan motivasi dalam organisasi. Bahagian ini akan menjelaskan secara terperinci anasir-anasir yang mempengaruhi sikap serta motivasi dalam sebuah organisasi.



Walaubagaimanapun tugasan ini akan menjelaskan juga peranan latihan dalam membentuk sikap dan meningkatkan motivasi pekerja dalam organisasi. Fokus akan diberi bagaimana latihan itu mampu membentuk sikap bagi meningkatkan motivasi  para pekerja yang menjadi tulang belakang dalam sesebuah organisasi. Akhirnya tugasan ini akan mengulas hubungan sikap dan motivasi pekerja terhadap pencapaian organisasi. Dalam bahagian terakhir ini akan memberi kefahaman tentang bagaimana sikap dan motivasi para pekerja memberi kesan kepada pencapaian sebenar sesebuah organisasi



1.1.1    Takrifan Sikap

Istilah sikap menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan ianya sebagai gaya,lagak, gerak-geri, rupa, tingkah-laku, takah, atau aksi.  Azizi Bin Yahaya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim dan Yusof Boon  (2004:75), mengatakan bahawa sikap adalah perbuatan atau pandangan yang berdasarkan kepada sesuatu pendapat (fikiran) atau dalam istilah bahasa Inggeris pula disebut sebagai “attitude” yang membawa maksud satu cara penterjemahan terhadap perasaan, pemikiran dan tingkah laku. Kesimpulannya sikap bolehlah dikatakan sebagai perbuatan yang mencerminkan tingkah laku seseorang



1.1.2    Takrifan Nilai

Aspek nilai dalam pelbagai disiplin pengurusan dimisalkan sebagai penyemai benih kehidupan berorganisasi. Diharapkan daripada proses penyemaian benih inilah akan terhasil norma-norma organisasi yang penuh tertib dan adab yang mengajar warganya cintakan kebenaran dan menghormati setiap amanah yang dipegang. Perihal inilah yang bakal menerbitkan kebahagiaan dan kebebasan dalam diri setiap individu dalam organisasi tersebut dan seterusnya menjadi pendorong kepada mereka untuk terus menyempurnakan apa jua tanggung jawab dengan istiqamah, tekun dan sabar.





1.1.3    Takrifan Kepercayaan

Kepercayaan berkaitan dengan kesahihan dan melakukan perkara yang betul. Ia menjadi penentu kepada kejayaan dalam hidup khususnya organisasi di mana suasana persekitaran yang semakin bertambah kompetitif dan setiap pekerja dinilai secara serius.



Kepercayaan adalah ciri-ciri perwatakan yang membina rasa hormat dan setia di samping memberi sokongan kepada suasana kerja yang berkualiti. Hilang kepercayaan pasti mengundang tekanan dan tingkah laku negatif seperti prasangka buruk dan dendam yang bakal menggugat semangat pasukan kerja.



Antara langkah yang boleh diterapkan untuk membina kepercayaan di tempat kerja ialah:

1. Jujur

Langkah pertama adalah jujur. Jujur pada diri dan pada orang lain walaupun perkara berkenaan dianggap kecil dan remeh. Beritahu yang benar kerana kebenaran tidak ditentukan oleh kecil atau besar sesuatu isu. Prinsipnya sama dengan bohong iaitu sama ada kecil ataupun besar, bohong tetap bohong dan ia merupakan satu kepalsuan.



Maklumat-maklumat yang diperoleh daripada sumber-sumber yang sahih dan berfakta wajar dikongsi walaupun tidak memberi kelebihan kepada diri sendiri. Mengambil barang tanpa maklum hendaklah dihentikan serta-merta supaya ia tidak menjadi tabiat buruk yang merugikan.







2. Pertimbangan yang matang

Maklumat atau berita yang ada dalam pengetahuan kita sebaiknya diurus dengan hikmah dan bijaksana. Tahu apa yang patut dikongsi dan bila pula boleh dikongsi. Semua perkara berkaitan peribadi, keupayaan organisasi dan pesaing mesti kekal menjadi rahsia kepada anggota pekerja. Pertimbangan yang bijak bukannya meletakkan semua perkara mesti dikawal sebaliknya bijak menguruskan maklumat kerana setiap orang yang berjumpa dengan kita sentiasa ada muslihat.



3. Istiqamah

Perkataan mesti selari dengan perbuatan ataupun disebut ‘bercakap serupa bikin.’ Apa yang dikata mesti di kota, bukannya hari ini cakap lain dan esok cakap lain pula. Di tempat kerja, jadikan kehadiran kita suatu yang tetap pada masa tertentu supaya kita membina kepercayaan orang lain dengan ketepatan masa datang bekerja.



4. Jujur dalam komunikasi tanpa lisan

Pakar-pakar bahasa badan menyatakan 50 peratus kesan komunikasi terletak pada komunikasi tanpa lisan. Justeru, menarik perhatian orang lain ke atas kejujuran kita adalah dengan melihat mata dan mengekalkan pertembungan mata tersebut dalam keadaan selesa. Tunjukkan bahasa badan yang terbuka seperti mendepangkan tangan dan duduk tanpa menyilang kaki.



5. Utamakan faedah bersama

Pentingkan diri sendiri ada pada semua orang. Namun, sifat terlalu pentingkan diri akan mengikis keyakinan dan kepercayaan. Bagi mengelak sikap pentingkan diri dari melampaui batas, jadikan ‘kami’ atau ‘kita’ sebagai ungkapan pilihan menggantikan ‘saya’ di samping mengamalkan sikap terbuka serta bersedia dengan kritikan.



Percaya adalah nilai yang sangat penting dalam organisasi kerana ia mengukuhkan kesetiaan. Tema percaya ini menjadikan banyak syarikat gergasi peringkat dunia terus kekal berdaya saing seperti McDonald, Sony dan Pepsi. Mereka percaya dan yakin bahawa pelanggan adalah talian hayat perniagaan yang dibina. Lalu tidak berkompromi dengan nilai-nilai yang merosakkan daya saing.



1.1.4    Takrifan Pencapaian Individu

Dalam usaha memantapkan pengurusan organisasi, terdapat organisasi yang memaparkan pencapaian yang cemerlang dan pencapaian yang rendah. Bagi memastikan setiap individu dalam organisasi cemerlang setiap dari mereka akan didedahkan dengan perkara baru atau belajar sesuatu yang baru dalam meningkatkan kemahiran untuk menjadi invidu yang mahir dalam sesuatu orgnisasi.



2.1     HUBUNGAN ANTARA ELEMEN-ELEMEN DI ATAS DAN KESAN KEPADA PENCAPAIAN SESEBUAH ORGANISASI DARI POSITIF DAN NEGATIF

Menurut Ishak Mad Shah lagi (2006:54), sesetengah para pekerja tidak hanya mengharapkan ganjaran dalam bentuk kewangan semata-mata untuk berjaya dan cemerlang dalam pekerjaannya sebaliknya ia bergantung kepada banyak faktor-faktor lain yang bukan berbentuk kewangan seperti sikap pengurus yang gemar memberi pujian atau galakan kepada setiap para pekerjanya. Hal yang demikian ini juga adalah diharapkan oleh para pekerja bagi memberi kesan kepada diri para pekerja bahawa masih diperlukan dalam sesebuah organisasi tersebut. Dalam hubungan ini, sudah semestinya pekerja terbabit tidak akan menolak untuk pekerjaan yang diberikan kepadanya apabila merasakan diri begitu dihargai oleh pihak organisasi. Sekaligus suasana ini akan mewujudkan pulangan yang baik kepada organisasi tersebut.



Dalam sesebuah organisasi tidak dapat dinafikan akan berlaku konflik  sama ada di antara pekerja mahu pun di antara pihak pengurusan sendiri. Oleh yang demikian,  di sinilah sikap memainkan peranan dalam sesebuah organisasi apabila pengurus yang bijak tidak perlu mengambil kesempatan di atas konflik yang berlaku sebaliknya menjadi agen pendamai bagi pihak-pihak yang berkonflik itu.



Justeru akan wujud keadaan “menang-menang” kepada pihak yang terlibat tanpa membawa kesan buruk kepada organisasi yang dipimpin. Ini disokong oleh hujah yang diberikan oleh Md. Yadi Said (2006:3), yang mengatakan bahawa:



“Konflik memerlukan kedua belah pihak bagi tujuan penyelesaian atau pun pihak ke tiga sebagai perantara.”



Jelas bahawa peranan sikap, nilai, kepercayaan dan pencapaian individu akan mempengaruhi pencapaian sesebuah orgnaisasi sama menjurus kepada pencapaian posisitf dan negatif.





2.1.1  Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Sikap, Nilai, Kepercayaan Dan Pencapaian Individu Dalam Organisasi

Dalam konteks organisasi akan terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi perilaku sikap dan motivasi pemimpin mahu pun para pekerja yang berada dalam organisasi tersebut. Pengaruh-pengaruh ini akan menentukan corak pentadbiran sesebuah organisasi atau pun gelagat yang akan muncul di kalangan pekerja.



Kedudukan seseorang dalam organisasi boleh menjadi faktor pengaruh kepada sikap dan motivasi. Contohnya jika sebelum ini individu berkenaan berada di peringkat pekerja bawahan dan sering kali hanya menerima arahan sahaja daripada pihak atasan dan kemudian apabila dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi maka di sini sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap dan motivasi individu terlibat daripada sikap yang dipamerkan sebelum daripada ini.



Pada masa ini mungkin individu terlibat akan lebih tegas oleh kerana jawatan sekarang memperuntukkan tanggungjawab dan autoriti yang berbeza (Zainudin Zakaria dan Zaidatul Hidayah Zakaria, 2006:15). Kedudukan jawatan dalam organisasi juga dalam konteks ini akan meningkatkan motivasi individu terlibat supaya bekerja dengan lebih gigih lagi sebagai tanda terima kasih kepada pihak pengurusan yang telah memberi  peluang kenaikan pangkat kepadanya.



Seterusnya adalah konsep kuasa yang dimiliki oleh seseorang yang berada dalam organisasi itu sendiri. Konsep kuasa sering kali dikaitkan dengan kepimpinan kerana di sana ada elemen pengaruh (Abdul Ghani Abdullah,  Abd Rahman Abd Aziz dan Mohammed Zohir Ahmad, 2008:6). Kuasa adalah keupayaan untuk bertindak dan mempengaruhi orang lain. Justeru itu, seseorang pemimpin akan berubah daripada segi sikap dan motivasinya terhadap pekerja bawahan supaya akan memperoleh penghormatan dan dalam masa yang sama boleh memberi arahan dan pekerja yang menerima arahan itu perlu mematuhi oleh kerana arahan tersebut datang daripada individu yang ada kuasa untuk memberi arahan.



Selain itu kuasa juga boleh digunakan oleh pemimpin tersebut untuk memberi galakan atau nasihat kepada pekerja yang berada di bawah seliaannya untuk bekerja dengan lebih tekun yang sekaligus pasti akan meningkatkan motivasi para pekerjanya.



Elemen seterusnya yang menjadi faktor mempengaruhi sikap dan motivasi pekerja dalam organisasi adalah nilai dan kepercayaan pekerja itu sendiri. Contohnya, jika seseorang pekerja itu mempercayai bahawa tindakannya melakukan sesuatu adalah benar maka ia tetap akan mempertahankan tindakannya itu walaupun mungkin akan mendapat kritikan rakan sekerja mahupun  pihak pengurusan organisasi tersebut.



Dalam hubungan ini, nilai dan kepercayaan seseorang individu itu akan mempengaruhi tindakannya dalam organisasi. Ini kerana nilai adalah satu pegangan yang menjadi prinsip dalam diri seseorang yang akhirnya akan membentuk sikap dan peribadi serta tindakannya. Hal ini sangat bertepatan dengan pandangan yang dikemukakan oleh Mardzelah  Makhsin (2006:2007), iaitu nilai wujud dengan memberi asas pegangan dalam kehidupan dan ia dibentuk melalui kepercayaan agama, kepercayaan politik dan kepercayaan budaya. Beliau juga membahagikan tiga kepercayaan yang membentuk nilai seseorang iaitu:

(i)         Kepercayaan deskriptif iaitu kepercayaan yang mempunyai kemungkinan benar atau  tidak.

(ii)        Kepercayaan evualutif iaitu kepercayaan yang dipertimbangkan baik atau buruk.

(iii)       Kepercayaan preskriptif iaitu hasil tindakan yang ditujukan sama ada dikehendaki atau pun tidak.



Secara jelas menunjukkan bahawa nilai dan kepercayaan itu sebenarnya boleh menjadi penyumbang kepada pengaruh sikap dan membawa kepada motivasi kepada seseorang pekerja yang yakin pada  dirinya  terus melaksanakan tugas-tugas yang diarahkan kepadanya biar pun menerima kritikan.



Sikap manusia secara semula jadinya akan berubah sama ada baik atau pun sebaliknya apabila menerima ganjaran. Justeru itu, ganjaran boleh dikaitkan dengan perkara yang secara tidak langsung mampu untuk mempengaruhi sikap dan motivasi seseorang pekerja dalam sebuah organisasi. Contohnya apabila seseorang pekerja mendapat ganjaran dalam bentuk kewangan seperti kenaikan gaji sudah  pasti pekerja ini akan bekerja lebih gigih lagi dan secara tidak langsung akan meningkatkan motivasi untuk bekerja.Ini kerana ganjaran merupakan satu hubungan langsung terhadap prestasi pekerja.



Jika para pekerja menilai ganjaran itu tinggi maka kesannya akan memotivasikan para pekerja dan begitulah sebaliknya.(Muhammad Ali Embi,2005:42). Begitulah besarnya pengaruh ganjaran lebih-lebih lagi dalam bentuk kewangan kepada para pekerja dalam memastikan objektif organisasi sentiasa boleh dicapai sepenuhnya.



3.1       TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL OLEH SESEBUAH ORGANISASI UNTUK MEWUJUDKAN SATU MASYARAKAT KERJA YANG POSITIF.

Dalam sesebuah organisasi sama ada besar atau pun kecil saiznya tidak akan terlepas daripada memberi latihan kepada para pekerjanya bagi mewujudkan pekerja yang mampu bekerja dengan baik dan sempurna di samping latihan itu memberi pengetahuan kepada pekerja tentang selok-belok pekerjaan yang akan dilakukannya.



Tanpa latihan yang mencukupi pasti organisasi itu akan menuju saat yang sukar apabila berada dalam pasaran persaingan yang hebat kini. Oleh kerana persaingan memerlukan para pekerja yang bukan sahaja berdisiplin bahkan komited terhadap tugas yang diamanahkan.

            

Menerusi latihan secara berkala dan berterusan boleh berperanan menyumbang kepada mengembangkan  kemahiran pekerja supaya mampu memenuhi keperluan organisasi (Ishak Mad Shah, 2002:182).Berpegang kepada prinsip itu, dengan adanya latihan secara berterusan untuk para pekerja sedikit sebanyak akan mampu untuk memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada pekerja yang terlibat.



Segala ilmu yang diperoleh semasa dalam latihan tersebut akan digunakan sesudah kembali bertugas di organisasi kelak. Sudah pasti keadaan menjadi sangat berbeza jika ingin dibandingkan dengan para pekerja yang tidak mengikuti latihan.



Di sini akan terbentuk sikap baru di kalangan para pekerja yang kembali bertugas setelah dibekalkan dengan ilmu baru, mereka ini akan lebih bersemangat dalam melakukan kerja, berkeyakinan, tahan cabaran dan yang paling penting adalah peningkatan daripada segi motivasi bekerja kerana pekerja ini sudah tahu apa yang sepatutnya dilakukan olehnya sekiranya berdepan dengan masalah atau pun berada di bawah tekanan akibat pekerjaan yang dilakukan. Ini semua kesan daripada latihan yang diberikan tersebut. Pencapaian  dalam organisasi pasti akan meningkat hasil daripada adanya pekerja-pekerja yang begini.





Melalui latihan juga akan meningkatkan disiplin di kalangan para pekerja. Dalam struktur sesebuah organisasi masalah disiplin di kalangan pekerja tidak dapat dinafikan lagi. Justeru melalui latihan mampu kembali mendisiplinkan pekerja-pekerja yang bermasalah. Menurut Ishak Mad Shah (2002) lagi sesuatu bentuk latihan itu hendaklah bersesuaian dengan tujuan ia dilaksanakan.



Dalam hubungan ini sekiranya organisasi mahu melihat pekerja yang bermasalah itu kembali bersemangat dalam melaksanakan tugas maka  bentuk latihan yang patut diikuti mungkin dalam bentuk ceramah kaunseling atau mengikuti kem-kem motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri yang kian luntur. Sikap yang terserlah selepas mengikuti latihan tersebut akan mencerminkan kejayaan organisasi juga jika pekerja terlibat mampu membawa perubahan ketara dalam diri dan sekaligus memberi kesan positif dalam menjayakan misi dan visi organisasi.

             

Selain daripada apa yang telah dijelaskan peranan latihan juga akan membolehkan pekerja dalam sesebuah organisasi membentuk pasukan kerja yang mantap. Kebanyakan organisasi pada masa ini mengamalkan budaya kerja berpasukan kerana ianya mampu untuk meningkatkan produktiviti organisasi selain memupuk sikap mengeratkan hubungan sesama kakitangan. Kerjasama yang wujud antara ketua jabatan yang bertanggungjawab merancang dan kakitangan yang menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana segala permasalahan dapat diselesaikan secara tolak ansur dan permuafakatan (Yeop Husin Bidin, 2006:2).



Pendekatan yang digunakan dalam kerja berpasukan adalah kerjasama yang erat antara pihak pengurusan dan juga kakitangan. Hal ini terhasil daripada latihan baik secara dalaman mahupun luaran yang digembelingkan secara bersama dalam membentuk pasukan kerja yang berjaya.



Semangat kerjasama yang ditonjolkan membuktikan bahawa latihan sangat memainkan peranan dalam membentuk sikap dan motivasi dalan sesebuah organisasi. Semangat kerja secara berpasukan sudah pun membuktikan bahawa setiap pekerja di organisasi tersebut ada semangat motivasi yang tinggi, jika tidak mana mungkin mampu untuk membentuk pasukan yang mantap.    

             

Organisasi yang baik dan mantap pengurusannya memerlukan seorang pemimpin yang mantap juga di semua peringkat kepimpinannya. Contohnya jika kepimpinan atasannya hebat tetapi kepimpinan di peringkat bawahan tidak sempurna maka keadaan tidak seimbang ini tidak mungkin mewujudkan kejayaan dalam organisasi tersebut. Maka di sini peranan latihan yang akan memberi kesan besar dalam  mewujudkan ciri-ciri  atau pun melahirkan  bakat-bakat baru dalam kepimpinan organisasi.  



Lebih tepat lagi kepimpinan hari ini memerlukan seorang pemimpin yang demokratik bukan autokratik. Pemimpin demokratik adalah  pemimpin yang memberi banyak kebebasan dan banyak tanggungjawab kepada orang yang dipimpin dan bersifat terbuka kepada pelbagai cadangan dan pandangan (Abdullah b Hassan & Ainon Bt Mohd:63). Sifat pemimpin yang begini sebenarnya mudah didampingi oleh para pekerja bagi meluahkan apa yang tersirat di hati dan berkongsi masalah pekerja. Pendekatan yang dibawa juga membuatkan pekerja lain lebih senang berurusan dengan pemimpin yang dibentuk dengan jiwa demokratik ini. Sikap mesra dengan para pekerja memungkinkan situasi di tempat kerja menjadi lebih seronok dalam bekerja dan pasti keadaan ini meningkatkan semangat motivasi pekerja untuk mencapai hasrat organisasi. Inilah peranan latihan memberi pengaruh terhadap sikap dan motivasi dalam organisasi.



3.1.1    Contoh Krisis Yang Berlaku Sesebuah Organisasi

Syarikat penerbangan Air Asia kini memang dikenali ramai, sebelum ini syarikat penerbangan ini merupakan sebuah syarikat penerbangan yang hampir muflis dan tidak dapat berdaya saing untuk memajukan diri sebagai sebuah syarikat penerbangan. Selepas di ambil alih dengan satu konsep pengurusan baru yang membabitkan usaha antara majikan dengan pekerja membabitkan perubahan sikap, nilai, kepercayaan dan pencapaian individu dengan menganggap pekerja merupakan sebahagian dari syarikat, Air Asia kini mampu berada setanding dengan syaraikat penerbangan antarabangsa yang lain. Perubahan yang ditunjukkan oleh pekerja dan majikan mampu menaikkan syarikat tersebut sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia.







4.1     TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL OLEH ORGANISASI UNTUK MENGELAKKAN KRISIS DALAM ORGANISASI

Menurut pandangan Mohamad Najib Abdul Ghafar (2004:53), mengatakan motivasi adalah tenaga penggerak kepada sikap yang menolak untuk melakukan sesuatu tindakan. Setiap pemimpin perlu menerima hakikat bahawa motivasi adalah komponen yang kritikal dalam  menentukan kejayaan mana-mana organisasi.



Oleh itu seseorang pemimpin perlu mempunyai pengetahuan yang menyeluruh tentang manusia (pekerja) supaya dapat menyusun strategi-strategi bagi mendapatkan kerjasama secara menyeluruh daripada pekerja bawahannya. Ini kerana motoivasi itu sendiri sebenarnya ada ciri-cirinya yang tersendiri bagi mengaitkan hubungannya dengan sikap dalam organisasi baik daripada pihak pemimpin mahupun pekerja terhadap pencapaian sesebuah organisas yang dipimpin. Ciri-ciri tersebut adalah:

(i)               Motivasi menggambarkan pandangan dan sikap yang unik pada diri seseorang

(ii)              Motivasi yang wujud dalam diri seseorang itu akan mempengaruhi setiap tindak tanduk dan sikap mereka dalam melaksanakan sesuatu tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya

(iii)            Motivasi ada berbagai-bagai bentuk dan akan memainkan peranan penting dalam   menggerakkan seseorang pekerja di samping membentuk sikap dan pandangan pekerja

(iv)            Motivasi menekankan pada gerak kerja dan suatu tindakan luaran dan dalaman yang    mempengaruhi seseorang memilih tindakan dan gerak kerja yang hendak dilakukan.



Ciri-ciri yang dinyatakan di atas dapat difahami bahawa motivasi membawa ke arah pembudayaan kerja yang positif. Jika ditinjau daripada sikap pula ia mempunyai beberapa komponen sikap seperti perasaan, pemikiran dan tingkah laku (Azizi Yahaya et.al,2004:75). Oleh itu, hubungan antara sikap dan motivasi terhadap pencapaian organisasi boleh dikategorikan sebagai satu hubungan yang positif ataupun selari.



Contohnya sekiranya seseorang pengurus dalam sesebuah organisasi bersikap terbuka dengan para pekerja bawahannya dalam erti kata boleh dibawa berbincang tentang masalah yang dihadapi pekerja, maka di sini akan wujud situasi “menang-menang” antara pekerja dengan pihak pengurusan organisasi tersebut.

            

Keadaan  persekitaran pekerjaan juga akan menjadi lebih kondusif di mana para pekerja dapat bekerja dengan penuh komited. Kepuasan bekerja juga akan wujud dalam kalangan para pekerja bawahan oleh kerana sikap pengurusan yang sentiasa mengambil berat akan masalah yang dihadapi seperti mana yang dijelaskan sebelum ini bahawa  antara faktor yang mempengaruhi motivasi adalah ganjaran dan galakan yang tidak semestinya dalam bentuk kewangan akan tetapi boleh jadi dalam bentuk pujian dan dorongan. Dalam konteks ini, sikap pengurusan yang terbuka itulah berjaya meningkatkan motivasi para pekerja bawahannya. Oleh kerana itu disifatkan hubungan antara keduanya ( sikap dan motivasi) adalah positif ataupun selari.

           

Pencapaian organisasi yang di dalamnya terdapat suasana pekerjaan yang “menang-menang’ antara pihak pengurusan dan juga pihak pekerja sudah tentu akan mencapai kejayaan cemerlang dalam memenuhi aspirasi organisasi. Gelagat-gelagat yang dipamerkan dalam organisasi itulah yang menjadi penyumbang besar kepada pencapaian organisasi dalam menghadapi persaingan globalisasi kini.



Tidak ada satu organisasi yang akan mencapai kejayaan jika hubungan antara pihak pengurusan dan pihak pekerja renggang ataupun bercakaran, sebaliknya keadaan ini hanya akan menimbulkan konflik yang akhirnya akan merugikan organisasi sendiri. Justeru itu kejayaan dalam organisasi tidak hanya bersifat individu bahkan mencakupi seluruh warga organisasi daripada pihak pengurusan hinggalah kepada pekerja bawahan (subordinat). Penggemblengan tenaga dan kepakaran semua level dalam organisasi maka akan mewujudkan pencapaian cemerlang organisasi.

                       

5.0     KESIMPULAN

Sikap, nilai, kepercayaan dan pencapaian individu dalam organisasi adalah elemen yang berhubungan rapat. Oleh itu tugasan ini telah menerangkan dengan terperinci definisi sikap iaitu satu perbuatan yang mencerminkan tingkah laku seseorang manakala nilai lebih sinonim dengan takrifan kuasa yang membangkitkan, mendorong, dan  mempengaruhi gelagat bertindak. Kepercayaan berkaitan dengan kesahihan dan melakukan perkara yang betul. Ia menjadi penentu kepada kejayaan dalam hidup khususnya organisasi di mana suasana persekitaran yang semakin bertambah kompetitif dan setiap pekerja dinilai secara serius dan pencapaian individu berkaitan dengan kebolehan individu dalam meningkatkan pengetahuan dan imbuhan yang diperolehi dalam organisasi. Lanjutan daripada itu, tugasan ini telah membincangkan kepentingan motivasi dalam organisasi di antara kepentingan tersebut adalah memupuk semangat kekeluargaan dalam organisasi supaya perhubungan sedia terjalin menjadi lebih rapat. Selain itu ianya mampu untuk membentuk persekitaran kerja yang seronok dan ada elemen kepuasan dalam bekerja. Kepentingan sikap dan motivasi yang seterusnya adalah memberi galakan dan dorongan kepada para pekerja dan yang terakhir adalah menjadi pendamai sekiranya berlaku konflik dalam organisasi yang dipimpin.







































Rujukan

         Ishak Mad Shah (2002). “Pengenalan Psikologi Industri  Dan Organisasi”. Universiti Teknologi Malaysia. Skudai.Johor.

       Azizi yahaya,Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim &Yusof Boon (2004). “Psikologi Sosial Alam Remaja”. Universiti Teknologi Malaysia. Skudai.Johor.

       Mohamad Najib Abdul Ghafar (2004). “Pembangunan Organisasi Di Malaysia: Projek Pendidikan”. Universiti Teknologi Malaysia. Skudai. Johor.

       Mohamad Ali Embi (2005). “ Sistem Saraan Di Malaysia: Sistem Saran Berasaskan Merit”. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

       Ishak Mad Shah (2006). “Kepimpinan dan Hubungan Interpersonal Dalam Organisasi”. Universiti Teknologi Malaysia. Skudai. Johor.  

       Mardzelah Bt Mukhsin (2006). “Sains Pemikiran Dan Etika”. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

       Md Yadi Said (2006). “Mengurus Konflik-Cegah Konflik Daripada Meruncing”. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

       Yeop Husin Bidin (2006). “Kerja Berpasukan”. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

        Zainuddin Zakaria & Goh Ying Soon (2006). “Memotivasikan Pekerja Mewujudkan Organisasi Yang Bermotivasi Dan Berprestasi Tinggi”. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

       Zainuddin Zakaria & Zaidatul Hidayah Zakaria (2006). “Kemahiran Memimpin”. PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Kuala Lumpur.