Jumaat, 6 April 2012

TAJUK:

 HEGEMONI DAN KONTRA HEGEMONI: MEMAHAMI PERUBAHAN PILIHAN RAYA UMUM KE-12



NAMA PENULIS:

 MUHAMMAD NADZRI MOHAMED NOOR & GHAZALI MAYUDIN



NAMA JURNAL: JEBAT

Jebat: Malaysian Journal of History, Politics, & Strategic Studies, Vol. 35  (July and December 2008): 33 - 48

@ School of History, Politics & Strategic Studies, UKM; ISSN 2180-0251 (electronic), 0126-5644 (paper)



ABSTRAK

 Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 8 Mac 2008 memang tidak diduga, mengejutkan semua pihak dan menghasilkan beberapa perkara yang pertama dalam politik Malaysia. Buat pertama kalinya semenjak ditubuhkan, Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Bagi Selangor, Perak dan Kedah inilah kali pertama kerajaan negeri jatuh ke tangan parti pembangkang. Ini menjadikan lima buah negeri, termasuk Pulau Pinang dan Kelantan yang dikuasai parti pembangkang selepas PRU ke-12. Buat pertama kalinya juga dalam banyak kawasan, pengundian tidak lagi berdasarkan kaum atau agama tetapi parti yang diwakili calon, sama ada parti pembangkang atau parti pemerintah. Kekalahan teruk BN seakan membenarkan andaian bahawa ramai pengundi yang keluar mengundi dengan tujuan untuk mengundi parti selain BN, tanpa mengambil kira parti yang lain itu. Dengan itu berlakulah pola pengundian yang calon Melayu mendapat sokongan kuat pengundi Cina dan India dan sebaliknya. Pengundi atau masyarakat Malaysia pada kali ini mula memperlihatkan kekuasaan mereka sebagai ‘kerajaan oleh rakyat’ dalam konteks sistem demokrasi. Fenomena ini dirujuk oleh kebanyakan media utama dan masyarakat Malaysia sebagai ‘tsunami politik’.



PENGENALAN DAN SOROTAN LITERATUR

Pilihanraya ke 12 yang lalu menampakkan perubahan dalam pemikiran rakyat Malaysia. Juga pada masa yang sama menunjukkan rakyat mempunyai kuasa menentukan kemahuan mereka dalam membentuk kerajaan yang mereka sukai. Dalam jurnal ini juga jelas menunjukkan sistem politik demokrasi di Malaysia menunjukkan perubahan dalam menentukan kemahuan rakyat. Ini membolehkan kerajaan memerintah selama 50 tahun mula mencari kehendak dan kemahuan rakyat berdasarkan kekurangan dan kelemahan mereka. Pilihanraya ke 12 menunjukkan satu kejutan yang dikatakan Hegemoni dan kontra Hegemoni di mana rakyat mahukan sesuatu perubahan dalam sistem pemerintahan



Asas kepada perubahan politik dalam jurnal ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu: Dominasi secara paksaan/kekerasan dan kepimpinan secara intelektual dan moral dalam menentukan kekuasaan politik dan pemerintahan. Dengan pelbagai teori yang dikemukakan menggambarkan Hegemoni tersebut telah wujud dalam pemerintahan kita selepas kemerdekaan. Ringkasnya Hegemoni ditaksir sebagai kaedah pendominasian kelas dominan (termasuk golongan pemerintah) ke atas massa daripada sudut minda dan fizikal dalam usaha untuk mendapat kepatuhan dan sokongan rakyat. Kaedah ini dijalankan menggunakan gabungan apparatus hegemoni yang berbentuk halus dan keras bagi menjana kerelaan dan keterpaksaan agar massa bertindak mengikut corak yang diinginkan oleh pemerintah. Ulasan saya perkara ini memang benar-benar berlaku di Malaysia dalam menentukan dominasi parti pemerintah yang media utama keseluruhannya dikawal oleh pemerintah dan kecuali saluran media yang melibatkan internet terutamanya blog-blog yang lantang menunjukkan ketidakpuasan mereka kepada pemerintah.



Saluran media utama yang dikawal sepenuhnya oleh pemerintah menyebabkan rakyat disogok oleh berita yang berat sebelah. Berbanding berita parti lawan melalui blog yang menjelaskan sebaliknya. Keadaan menyebabkan pihak pembangkang mula menggunakan saluran internet untuk mendapatkan sokongan dan mendedahkan kelemahan dalam jentera kerajaan. Keadaan ini mula mendapat sokongan rakyat.



OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini untuk melihat permasalahan yang perlu diberi perhatian oleh pemerintah. Rakyat masa kita tidak mudah untuk menerima sogokan daripada saluran media perdana seperti TVI, TV2, TV3 dan saluran radio yang dikuasai oleh pemerintah. Dengan adanya internet yang mempunyai pilihan melalui blog-blog pembangkang yang tidak dikawal oleh kerajaan untuk mendapat berita yang sebenar mengenai masalah-masalah ekonomi, politik dan sosial yang sebenarnya berlaku. Melaluinya rakyat dapat membuat perbandingan mengenai permasalahan sebenar.



Melalui kajian ini juga penulis ingin melihat kehendak dan kuasa rakyat dalam menentukan sesebuah pemerintahan yang mereka inginkan dengan amalan demokrasi di Malaysia. Dengan melakukan perubahan-perubahan terhadap kerajaan yang perlu diikuti jika inginkan pemerintahan itu kekal.



Begitu juga dalam memahami tingkah laku masyarakat adalah satu warisan secara semulajadi atau sebaliknya telah menunjukkan pola perubahan dalam pemikiran rakyat. Rakyat sekarang mula menjadi ilmu budaya dan sejarah sebagai satu perkara penting dalam memahami pemerintahan. Sama ada sesuatu perkara itu telah diatur atau tidak, budaya pemikiran rakyat telah mula merubah dengan penerimaan mereka dalam menerima dan mempelajari ilmu. Umpamanya penggunaan istilah ‘hamba’ yang merujuk kepada diri sendiri pada zaman pemerintahan tradisional yang tidak lagi digunakan dalam masyarakat Melayu hari ini. Ini menunjukkan rakyat sudah boleh berfikir tentang apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan mereka tidak terikut dengan kehendak tradisional yang sudah tidak sesuai dengan kehendak zaman sekarang.



Justeru rangka konsep di atas boleh berubah, diubahsuai dan dihapuskan oleh golongan dominan. Justeru itu saya berpendapat keadaan ini sudah berubah dalam dunia politik kini. Rakyat mula memahami tugas mereka dan menilai baik dan buruk. Mereka mampu merubah melalui pengetahuan yang ada dengan menilai  sesuatu parti pemerintah dan tidak terikut dengan sejarah lampau. Saya bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh penulis bahawa masyarakat kini lebih memahami kehendak mereka dan apa yang sepatutnya dibuat oleh pemerintah.



METODOLOGI KAJIAN

Metodologi kajian ini mengambil kira beberapa pendekatan yang diambil oleh pengkaji untuk menilai kehendak dan kemahuan rakyat dalam sistem pemerintahan. Pengkaji telah meletakkan Hegemoni Dalam Konstruksi Budaya Politik kini kepada beberapa pendekatan untuk dinilai kehendak dan keperluannya, iaitu Landasan Teoritikal Hegemoni yang dilihat keperluan dalam menentukan kuasa sama pendekatan secara lembut atau paksaan.



Konstruksi Sosial yang melihat amalan tingkah laku masyarakat sama ada mewarisi tingkah laku warisan atau berubah mengikut semasa. Konstruksi Neofeudalisme dalam Budaya Politik Pasca kemerdekaan, warisan pemerintahan British dalam pemerintahan kini, sama ada semua atau masih lagi memenuhi kehendak rakyat. Dominasi Superstruktur Bahagian substruktur (ekonomi dan kelas sosial) adalah asas yang menentukan bentuk superstruktur sesebuah masyarakat. Bahagian superstruktur terdiri daripada institusi bukan material dalam masyarakat dan setiap satunya disusun berdasarkan kesesuaian dengan kelas pemerintah. Fungsi superstruktur adalah untuk menjamin penerusan dominasi pemerintah dan mengekalkan kedudukan massa sebagai subjek.





Namun pengalaman kontemporari politik Malaysia kini mula melakarkan praktik yang merupakan kebalikan daripada apa yang cuba untuk dikontruksikan oleh parti pemerintah, iaitu politik baru yang menekankan isu-isu kesejagatan, merentasi garisan etnik dan kelas dan penggunaan media baru. Perubahan yang berlaku dalam PRU ke-12 akan dilihat dalam konteks kegoyahan yang berlaku dalam superstruktur dan substruktur.



Masalah ekonomi yang dihadapi rakyat selepas PRU ke-11 2004 dan berleluasanya penggunaan dan pengaruh media baru yang telah memberi kesan kepada kedua-dua struktur berkenaan sehingga hegemoni yang wujud selama ini mula dicabar dan ditolak. Berasaskan sistem quasi kapitalisme yang didokong oleh Malaysia, maka wujud dua perkara asas yang memberi impak kepada masyarakat. Pertama, pengaruh ekonomi dalam memotivasikan tindakan masyarakat adalah sukar untuk dielakkan kerana keberlangsungan kehidupan mereka bergantung kepada keadaan ekonomi. Kedua, oleh kerana campur tangan kerajaan dalam sistem seumpama ini adalah tinggi, maka jika berlaku masalah ekonomi yang mendesak keberlangsungan hidup mereka, kebergantungan dan pengharapan massa yang tinggi kepada kerajaan tidak dapat dielakkan.



Pada ketika ini mereka cenderung memerhatikan apakah tindakan dan keputusan kerajaan untuk memperbaiki atau menyelesaikan keadaan tersebut. Melalui pembahagian ini satu pungutan oleh Merdeka Centre telah dilakukan untuk mengetahui kehendak dan keperluan rakyat dalam mempengaruhi pemikiran politik mereka.

masyarakat Malaysia meletakkan masalah ekonomi sebagai masalah utama negara berbanding dengan masalah lain. 24% masyarakat Malaysia yang berpendapat ekonomi adalah masalah utama negara dan rakyat melibatkan kenaikan harga barang serta inflasi (20%), pengangguran (3%) dan masalah ekonomi yang lain (1%).



Masalah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan masalah perkauman dan ketidaksamarataan (17%) dan jauh lebih tinggi masalah lain umpamanya jenayah/keselamatan awam (12%), masalah sosial (9%), rasuah (3%) dan politik (3%). Kajian juga memperlihatkan 70% daripada responden dalam kajian ini kurang berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah ekonomi.



DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Selepas PRU ke-12 telah memperlihatkan kematangan rakyat dalam memastikan kekuasaan dan kehendak mereka diikuti oleh pemerintah. Walaupun sogokan yang diutarakan dalam media pemerintah tidak lagi mempengaruhi pemikiran rakyat yang boleh mendapatkan maklumat yang betul dari media lain seperti internet untuk dibuat perbandingan.



Pada masa yang sama rakyat tidak lagi terikut dengan sistem warisan tradisional dalam menyokong sesuatu perkara di mana mereka boleh membuat penilaian berdasarkan fakta yang benar. Kesimpulannya, perlu ada perubahan dalam  parti pemerintah dengan kehendak rakyat yang sudah pandai menilai dan mahu kehendak mereka dilayan dan difahami tanpa menafikan hak mereka. Perubahan dalam daya pemikiran dan kehendak rakyat dalam hal ini perlu diutamakan, tanpa disogok oleh media massa yang dikawal pemerintah. Keadaan ini penting dalam memastikan kelangsungan pemerintahan Barisan Nasional di Malaysia.