Rabu, 8 Jun 2022

Pemahaman Pelajar Diploma Pelbagai Etnik Terhadap Kursus Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Pemahaman Pelajar Diploma Pelbagai Etnik Terhadap Kursus Masyarakat Dan Kebudayaan Malaysia Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Norshahrul Marzuki Bin Mohd Nor

Jabatan Pengajian Kemasyarakatan Dan Kewarganegaraan: Fakulti Sains Kemanusiaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tanjung Malim, Perak, Malaysia
norshahrul@fsk.upsi.edu.my

Abstrak:

Kebelakangan ini sering kali berlaku perselisihan faham berkaitan pemahaman budaya dan amalan dalam masyarakat pelbagai etnik di Malaysia sehingga menimbulkan kemarahan. Keadaan ini jika tidak diselesaikan akan menyebabkan ketegangan etnik dan boleh menganggu gugat keamanan negara. Melalui Kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada pelajar peringkat Diploma, pengkaji ingin mengenal pasti tahap pemahaman pelajar terhadap kursus ini. Hasil dapatan kajian menunjukkan pemahaman pelajar terhadap Kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia adalah sangat tinggi dengan purata min 4.21 ke atas. Majoriti memberikan respon sangat setuju bahawa kursus ini dapat memberikan pemahaman yang jelas kepada mereka mengenai kepelbagaian budaya yang ada. Kursus ini juga membantu pelajar mengenali masyarakat pelbagai etnik dengan penuh keyakinan. Berdasarkan dapatan kursus ini juga menjelaskan bahawa pelajar ingin mengetahui atau memahami setiap masyarakat dan budaya yang ada di Malaysia sebagai satu pengalaman yiang berharga mereka ketahui dan pelajarinya. Dengan pendedahan yang mereka perolehi dalam kursus menjadi mereka lebih suka untuk mengetahui latar belakang rakan sekelas dan sebaya mereka dan mampu berkomunikasi dengan memberikan pendedahan mengenai budaya Malaysia daripada kursus ini secara formal dan akademik. Keadaan ini secara langsung memberikan satu maklumat bahawa kepelbagaian etnik yang ada mampu di satukan dengan pemahaman yang jelas hasil dari pendedahan secara formal, mengenai kepelbagaian budaya dan masyarakat yang di universiti untuk lebih memahami dan mempelajari budaya yang ada tanpa wujud perasaan yang negatif yang melihat kepelbagai agama, budaya, etnik, dan sebagainya. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia dapat memberikan pemahaman dari segi kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang ada di Malaysia kepada pelajar peringkat Diploma yang mengikuti kursus tersebut. Keadaan tersebut meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aspek masyarakat dan budaya sebagai salah satu usaha untuk memastikan keharmonian dapat terus dikekalkan pada masa akan datang. Kursus ini juga ternyata mampu memberikan input berguna dalam memberikan maklumat mengenai kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan Malaysia.

Kata Kunci: Kursus Masyarakat dan Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, memahami, formal dan akademik.


Pengenalan

Budaya dan masyarakat merupakan lambang kepada identiti sesebuah negara, lebih-lebih lagi Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik sehingga menjadikannya sebagai sebuah negara yang unik iaitu bangsa Malaysia. Dalam hal ini, rakyat Malaysia harus menerima kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang wujud di sekeliling untuk sama-sama berjuang memastikan negara dapat berkembang sebagai sebuah negara maju yang dinamik. Dalam konteks ini, masyarakat dan kebudayaan menjadi agenda untuk memupuk semangat kesatuan dalam masyarakat Malaysia bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, progresif, dan dinamik.

Oleh itu pemahaman tentang konsep masyarakat dan kebudayaan ini adalah penting untuk mengekalkan kestabilan negara (Abdul Rahim Hamdan, Mohd Najib Ghafar & Anis Ayuni, 2010). Dalam kajian ini pengkaji ingin mengenal pasti tahap pemahaman pelajar diploma dalam pelbagai jurusan pengajian terhadap kursus Masyarakat dan Kebudayaan yang telah mereka telah ikuti, sama ada dapat memberikan kesan yang baik dan memberikan pemahaman yang jelas mengenai kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan di Malaysia atau sebaliknya. Keadaan ini seterusnya memupuk semangat cinta akan negara dan bersikap rasional dalam membentuk hubungan kaum yang ada, dengan nilai-nilai moral, seperti sikap menghormati, keikhlasan dan saling mempercayai antara kaum untuk mengekalkan kesepaduan sosial yang dinikmati sehingga kini (Azat Khairi, 2011). Dengan kajian ini, pengkaji dapat menilai tahap pemahaman pelajar mengenai budaya dan masyarakat juga keperluan-keperluan lain (Abdul Rahim Hamdan, Mohd Najib Ghafar & Anis Ayuni, 2010) yang boleh ditambah pada masa akan datang untuk kursus ini bagi menjadikannya sebagai satu platform asas kepada pemahaman kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia.

 

Permasalahan Kajian

Pusat pendidikan tinggi dilihat dapat memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar yang menjadi pelapis pemimpin masa hadapan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang ada di Malaysia, mengenai kepentingan kursus Masyarakat dan Kebudayaan yang di Malaysia. Terutamanya dalam menggalakkan intergrasi pelbagai kaum yang ada (Ezhar Tamam dan Madiha Hashmi, 2015) seterusnya dapat mempersiapsiagakan masyarakat ke arah dasar-dasar terkini kerajaan dengan lebih menyeluruh. Walaupun keadaan ini memerlukan pendekatan pengajaran yang sesuai dalam memastikan pemahaman pelajar menerima kepelbagaian budaya  (Mansor Mohd Noor, Azlina Abdullah dan Mohd Mahadee Ismail, 2016) yang ada dan dapat menilai mengenai kepentingan kepada diri mereka dan masyarakat umum.

Seterusnya kepentingan pendidikan dari segi hubungan Etnik, dalam mewujudkan integrasi yang lebih kukuh hasil pemahaman mengenai budaya dan masyarakat mampu bertoleransi bagi memastikan keamanan yang ada kini terus dikekalkan dengan mengambil kira sejarah kemerdekaan lalu sebagai asas dan juga perlembagaan negara. Mampu memberikan kesan yang positif mengenai kepentingsn pengetahuan budaya ini terus dikekalkan sebagai satu kursus wajib universiti harus dipertahankan (Ramlee Mustapha, Norzaini Azman, Faridah Karim, Abdul Razak Ahmad, Maimun Aqsha Lubis, 2009).

Penekanan kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan dan sebagai pendekatan yang penting untuk merealisasikan aspirasi negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pendidikan adalah tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa pusat pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara. Seterusnya mampu memberikan kesan yang besar kepada pembangunan negara ke arah negara yang mampan (Mohd Rizal Mohd Said & Thay Cheow Yin, 2012).

 

 Konsep Masyarakat

Perkataan “masyarakat” seperti yang dijelaskan dalam Kamus Dewan (2015) ialah satu kumpulan tertentu yang hidup bersama dengan aturan tertentu yang telah dipersetujui oleh mereka. Dalam konteks ini, masyarakat melibatkan individu, keluarga, dan kumpulan yang ada dalam sesebuah masyarakat yang didiami, melalui hubungan bersemuka. Daripada pergaulan ini, terbina pola hubungan sosial yang berulang sifatnya seperti kegiatan gotong-royong, bersama-sama merayakan sesuatu perayaan melalui rumah terbuka, berkumpul menyambut pembesar yang datang berkunjung, menghadiri majlis perkahwinan, membantu golongan yang ditimpa malapetaka, menziarahi jiran yang sakit tenat, atau yang telah meninggal dunia. Pola hubungan sosial ini adalah sebagai satu manifestasi kepada kehidupan yang perlu memerlukan antara sama lain, yang boleh memberikan kebaikan hasil daripada jalinan kerjasama yang wujud dalam masyarakat tersebut. Melaluinya kekerapan pergaulan ini, masyarakat dapat membina satu kesepaduan sebagai satu unit sosial yang utuh. Dalam konteks Malaysia, hubungan harmonis antara pelbagai kumpulan etnik dapat membina sebuah masyarakat Malaysia yang teguh dan mampu untuk mengatasi masalah yang melibatkan kepelbagaian masyarakat.

Dalam konteks ini juga perkataan “masyarakat” yang dalam bahasa Inggerisnya society berasal dari bahasa Latin iaitu societas yang bererti “perhubungan baik dengan orang lain”. Perkataan societas pula dikeluarkan daripada perkataan socius yang bererti “teman” atau “kawan” (Mohd Syariefudin bin Abdullah, Mansor Mohd Nor, Ahmad Rizal Bin Mohd Yusof & Faridah Binti Che Husain, 2017)Sehubungan itu, kesatuan yang ada dalam masyarakat mampu membentuk kepelbagaian dalam membangunkan sebuah negara bangsa dengan kukuh.  Yang jelas ialah konsep masyarakat ini sebenarnya telah membawa penyatuan bangsa kepada kewujudan bangsa baharu yang boleh bertolak ansur dan boleh diklasifikasikan sebagai kesepaduan organik, terutamanya di kawasan bandar atau penempatan tersusun (Tony Blackshaw, 2010).

Para sarjana sains sosial dan kajian kemanusiaan telah menegaskan bahawa kebudayaan tidak wujud jika tidak ada masyarakat. Pendapat ini berasaskan fakta sejagat bahawa manusia sebagai anggota masyarakat telah bertanggungjawab mencipta, mengubah, menokok tambah dan melestarikan budaya, serta telah menurunkannya daripada generasi kepada generasi untuk jutaan tahun dalam peradaban manusia sedunia. Proses mewariskan budaya melibatkan interaksi dua generasi; pertama, generasi yang menurunkan budaya dan kedua, generasi yang menerima budaya (Ezhar Tamam & Madiha Hashmi, 2015).

 

Konsep Kebudayaan

Konsep budaya yang perlu difahami ialah perlakuan yang menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat yang wujud di sesuatu tempat sebagai amalan yang menjadi rutin kepada kehidupan harian mereka. Newmark, P. (1988) mentakrifkan budaya sebagai: “...the way of life and its manifestations that are peculiar to a community that uses a particular language as its means of expression”. Hal ini menjelaskan bahawa bahasa merupakan cara berhubung dengan manusia dan kehidupannya ialah budaya. Dalam keadaan ini budaya meliputi cara bercakap, cara makan, cara berpakaian, cara berhubung, adat resam yang diamalkan, agama dan sebagainya sebagai satu kaedah dalam kehidupan seharian. Oleh itu, jelaslah bahawa budaya merupakan satu kegiatan yang boleh dilakukan, mewakili tempat, agama dan masyarakat yang ada, dan menjadi pegangan kepada sesuatu masyarakat.

 

 Konsep Kepelbagaian Budaya

Konsep kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang ada di Malaysia menjadi tonggak kepada kekuatan negara.  Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat pelbagai budaya, maka setiap bangsa atau ras dalam sistem sosial Malaysia pastinya berbeza antara satu sama lain dari segi latar belakangnya. Malah, perbezaan adat dan budaya juga tetap wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana berbeza budaya dan kepercayaan. Dengan perantara bahasa Melayu sebagai penghubung kepada kepelbagaian budaya yang ada, masyarakat berbilang bangsa mampu tinggal dalam satu tempat dengan menjadikan budaya dominan iaitu budaya Melayu sebagai model penghubung kepada kepelbagaian budaya yang ada (Cho Minsung & Puteri Roslina Abdul Wahid, 2016). Perkembangan ini jelas memperlihatkan budaya merupakan satu cara kehidupan yang pelbagai dalam konteks Malaysia, tetapi asasnya ialah penerimaan budaya tersebut dalam masyarakat sebagai satu asas pembinaan negara bangsa (Hamidah Abd Rahman, Norlin Ahmad & Nor Akmar Nordin, 2011).

 

Tujuan Kajian

Kajian ini dilkukan untuk menilai dan mengenal pasti tahap pemahaman pelajar terhadap kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia berdasarkan pemahaman politik, sosial dan agama. Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti keperluan-keperluan lain yang boleh ditambah dalam kursus tersebut supaya menepati kehendak semasa berdasarkan kepada penilaian pelajar dalam usaha membangun rakyat ke arah kesepaduan masyarakat majmuk yang berbilang budaya dan masyarakat, terutama golongan muda yang menjadi pelapis pemimpin negara kelak. Pendedahan awal mengenai masyarakat dan kebudayaan kepada pelajar mampu membantu mereka dalam mengendalikan kehendak kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang ada di Malaysia.

 

Objektif Kajian

Beberapa objektif telah dikenal pasti dalam melaksanakan kajian ini. Antaranya termasuklah yang berikut:

  1. Untuk mengenal pasti tahap pemahaman pelajar mengenai konsep kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan.
  2. Untuk mengenal pasti tahap pemahaman pelajar dari segi mengenali secara terbuka masyarakat dan kebudayaan Malaysia.

 

Metodologi

Kajian ini berbentuk kajian kuantitatif dengan menggunakan kaedah analisis statistik deskriptif bagi mengetahui tahap pemahaman pelajar peringkat diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhadap kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia yang mereka ikuti, kebaikan dan pengetahuan hasil daripada pendedahan kursus berkenaan. Bagi mengumpulkan data dalam kajian, instrumen yang digunakan ialah set soal selidik. Satu set soal selidik disediakan mengandungi dua bahagian; Bahagian A yang berkaitan latar belakang soal selidik disediakan mengandungi dua bahagian; Bahagian A yang berkaitan latar belakang responden; dan Bahagian B, yang mengandungi soalan berkaitan pemahaman pelajar mengenai kursus tersebut. Bahagian B ini dibahagikan pula kepada dua bahagian kecil. Setiap satu bahagian mengandungi lima soalan yang dikemukakan dengan kesemuanya mengandungi sepuluh soalan. 

 

Menurut M. Saunders, P. Lewis dan A. Thornhill (2007), metod soal selidik merupakan kaedah yang paling sesuai dalam mengkaji hal-hal berkaitan pengukuran terhadap sesuatu perkara seperti pengetahuan, sikap, kefahaman, penglibatan dan sebagainya.  Malah, soal selidik bersifat praktikal dan berkesan dalam mengawal jumlah sampel kajian yang besar. Semua soalan yang dibentuk adalah dengan menggunakan skala pengukuran Likert untuk mengukur tahap pemahaman pelajar UPSI terhadap kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia yang mempunyai lima skala iaitu sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju, dan sangat setuju. Daripada jumlah populasi sebanyak 600 orang pelajar diploma yang diedarkan soal selidik secara dalam talian, sebanyak 560 orang, atau 93.3% yang telah menjawab sebagai responden.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                      

 Dapatan Kajian

Bahagian A: Latar Belakang

Dapatan dari bahagian A menunjukkan jumlah pelajar lelaki yang terlibat sebagai responden ialah 139 orang atau 25%, berbanding dengan pelajar perempuan sejumlah 421 orang atau 75%. Berdasarkan jumlah tersebut jumlah pelajar perempuan lebih banyak berbanding pelajar lelaki.

 

                                                         Jadual 1.1: Jantina

Jantina

Jumlah

Peratus

Lelaki

139

25%

Perempuan

421

75%

Jumlah

560

100%

 

Seterusnya pula dari segi bangsa, majoriti responden terdiri daripada Bumiputera Melayu, iaitu 371 orang atau 66.3%, Bumiputera Sabah 65 orang atau 11.6%, India 49 orang atau 8.8%, Bumiputera 23 orang atau 4.1%, Bumiputera Sarawak 22 orang atau 3.9%, Cina 20 atau 3.6%, dan lain-lain 10 orang atau 1.8%. Dalam konteks ini populasi kajian meliputi tiga wilayah Malaysia, iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan kesemua bangsa yang ada di Malaysia.

 

Jadual 1.2: Bangsa

Bangsa

Jumlah

Peratus

Bumiputera Melayu

371

66.3%

Bumiputera

23

4.1%

Bumiputera Sabah

65

11.6%

Bumiputera Sarawak

22

3.9%

Cina

20

3.6%

India

49

8.8%

Lain-lain

10

1.8%

Jumlah

560

100%

 

Dari segi agama pula sejumlah 430 orang yang beragama Islam atau 76.8%, merupakan populasi agama yang terbesar sekali, diikuti dengan Kristian 71 orang atau 12.7%, agama Buddha 41 orang atau 7.3%, agama Hindu 12 orang atau 2.1% dan agama lain-lain 6 orang atau 1.1%.

1.3: Jadual Agama 

Agama

Jumlah

Peratus

Islam

430

76.8%

Kristian

71

12.7%

Buddha

41

7.3%

Hindu

12

2.1%

Lain-lain

6

1.1%

Jumlah

560

100%

 

Bahagian B: Pemahaman Pelajar Mengenai Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia 

Bahagian ini merupakan fokus kajian iaitu pemahaman pelajar mengenai masyarakat dan kebudayaan Malaysia hasil daripada mengikuti Kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Dalam bahagian ini terdapat dua persoalan utama yang menjadi kepada pokok perbincangan kajian ini, iaitu:

i.             Pemahaman terhadap kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan.

ii.             Pemahaman dari segi mengenali secara terbuka masyarakat dan kebudayaan Malaysia.

 

Di bawah persoalan utama tersebut, terdapat lima soalan dikemukakan untuk dinilai oleh pelajar sama ada mereka bersetuju atau tidak hasil daripada pengalaman mereka mengikuti kursus ini.

 

Jadual 4: Pemahaman Terhadap Kepelbagaian Masyarakat dan Kebudayaan di Malaysia

Bil

Pemahaman             terhadap kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan di Malaysia

SS 5

S 4

TP 3

TS 2

STS 1

Min

1.

Membantu mengenali budaya dan masyarakat luar daripada lingkungan                               masyarakat

sendiri.

38.8%

55.5%

3.4%

0.7%

1.6%

4.29

2.

Memberi pendedahan baharu yang lebih sistematik dan terarah kepada kepelbagaian

budaya di Malaysia.

41.6%

52.1%

3.8%

0.9%

1.6%

4.31

3.

Memperbetulkan salah faham mengenai                     masyarakat     dan

budaya lain.

45.4%

47.7%

4.6%

0.9%

1.4%

4.35

4.

Memupuk kerjasama dalam menjalankan kegiatan dan tugasan yang diberikan secara lebih rapat lagi dalam mengenali budaya dan

masyarakat.

48.8%

45.9%

2.9%

0.7%

1.8%

4.39

5.

Membuka minda mempelajari budaya yang boleh digunakan

           dalam masyarakat sendiri.                                                                                   

45.7%

49.3%

2.5%

0.5%

2.0%

4.36

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan Jadual 4, untuk pernyataan pertama iaitu ‘Membantu mengenali budaya dan masyarakat luar daripada lingkungan masyarakat sendiri’, seramai 38.8% orang pelajar sangat setuju dengan pernyataan ini, 55.5% setuju, 3.4% tidak pasti, 0.7% tidak setuju dan 1.6% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.29. Untuk pernyataan kedua iaitu ‘Memberi pendedahan baharu yang lebih sistematik dan terarah kepada kepelbagaian budaya di Malaysia’, seramai 41.6%orang pelajar sangat setuju, 52.1% setuju, 3.8% tidak pasti, 0.9% tidak setuju dan 1.6% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.31. Respon yang diperoleh menunjukkan kursus ini memberi pendedahan baharu yang lebih sistematik dan terarah kepada kepelbagaian budaya di Malaysia menerusi penglibatan dengan kegiatan masyarakat dan kebudayaan misalnya. Untuk pernyataan ketiga iaitu ‘Memperbetulkan salah faham mengenai masyarakat dan budaya lain’, seramai 45.4% orang pelajar sangat setuju, 47.7% orang setuju, 4.6% tidak pasti, 0.9% tidak setuju dan 1.4% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.35. Respon ini menunjukkan kursus ini membantu pelajari memahami budaya dan masyarakat lain dengan lebih meluas tanpa wujud salah faham mengenai amalan dan perkara- perkara yang mereka lakukan di samping boleh memperbetulkan salah faham pelajar mengenai masyarakat dan budaya dengan lebih jelas dan bersifat lebih akademik, terutama daripada persepektif masyarakatnya sendiri.

 

Bagi pernyataan keempat iaitu ‘Memupuk kerjasama dalam menjalankan kegiatan dan tugasan yang diberikan secara lebih rapat lagi dalam mengenali budaya dan masyarakat’, seramai 48.8% sangat setuju dengan pernyataan ini, 45.9% setuju, 2.9% tidak pasti, 0.7% tidak setuju dan 1.8% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.39. Keadaan ini menjelaskan melalui kursus yang mereka ikuti, pelajar dapat mengenali budaya lain dengan lebih rapat di samping menjelaskan mengenai budaya mereka kepada pelajar-pelajar lain menerusi sikap saling memahami dan hormat-menghormati. Untuk pernyataan terakhir dalam konstruk ini iaitu ‘Membuka minda mempelajari budaya yang boleh digunakan dalam masyarakat sendiri’, seramai 45.7% orang pelajar sangat setuju, 49.3% setuju, 2.5% tidak pasti, 0.5% tidak setuju dan 2.0% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.36. Respon ini menunjukkan Kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia membuka minda pelajar dalam mempelajari budaya lain dalam masyarakat.

 

Jadual 5: Pemahaman dari Segi Mengenali Secara Terbuka Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia.

Bil

Pemahaman dari segi mengenali secara terbuka masyarakat                     dan kebudayaan Malaysia

SS 5

S 4

TP 3

TS 2

STS 1

Min

1.

Memberikan           maklumat baharu yang lebih jelas mengenai budaya dan masyarakat lain yang ada di Malaysia, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana unsur

negatif

41.8%

50.7%

5.4%

0.5%

1.6%

4.31

2.

Pendedahan secara langsung atau tidak langsung dengan rakan-rakan pelbagai etnik memberikan pengalaman penting dalam memahami kepelbagaian masyarakat dan

kebudayaan di Malaysia.

43.6%

48.4%

5.4%

1.1%

1.6%

4.31

3.

Lebih bersedia untuk berbincang                                    dengan masyarakat      luar     dengan

pengetahuan yang diperoleh.

28.6%

55.2%

13.8%

1.1%

1.4%

4.08

4.

Dapat membawa maklumat mengenai budaya dan masyarakat sendiri kepada masyarakat lain yang ada di

Malaysia untuk mereka lebih mengenalinya.

34.3%

55.7%

7.1%

1.3%

1.6%

4.20

5.

Memberikan pendedahan mengenai adat dan budaya yang sebenar tanpa dipengaruhi oleh unsur negatif

_________________

40.2%

52.5%

5.4%

0.4%

1.6%

4.29

 

 

Berdasarkan Jadual 5, untuk pernyataan pertama dalam konstruk ‘Pemahaman Dari Segi Mengenali Secara Terbuka Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia’ iaitu ‘Memberikan maklumat baharu yang lebih jelas mengenai budaya dan masyarakat lain yang ada di Malaysia, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana unsur negatif’’, seramai 41.8% orang pelajar sangat setuju, 50.7% setuju, 5.4% tidak pasti, 0.5% tidak setuju dan 1.6% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.31. Untuk pernyataan kedua iaitu ‘Pendedahan secara langsung atau tidak langsung dengan rakan-rakan pelbagai etnik memberikan pengalaman penting dalam memahami kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan di Malaysia’, seramai 43.6% orang pelajar sangat setuju, 48.4% setuju, 5.4% tidak pasti, 1.1% tidak setuju dan 1.6% sangat  tidak setuju juga dengan nilai min yang sama dengan pernyataan pertama iaitu 4.31. Untuk pernyataan ketiga iaitu ‘Lebih bersedia untuk berbincang dengan masyarakat luar dengan pengetahuan yang diperole’, seramai 28.6% orang pelajar sangat setuju dengan pernyataan tersebut, 55.2% setuju, 13.8% tidak pasti, 1.1% tidak setuju dan 1.4% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.08. Respons ini menunjukkan kursus ini membantu pelajar untuk bersedia memberikan maklumat yang benar mengenai kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan Malaysia

 

Manakala untuk pernyataan keempat iaitu ‘Dapat membawa maklumat mengenai budaya dan masyarakat sendiri kepada masyarakat lain yang ada di Malaysia untuk mereka lebih mengenalinya’, seramai 34.3% orang pelajar sangat setuju, 55.7% setuju, 7.1% tidak pasti, 1.3% tidak setuju dan 1.6% tidak setuju dengan nilai min 4.20. Bagi pernyataan terakhir iaitu ‘Memberikan pendedahan mengenai adat dan budaya yang sebenar tanpa dipengaruhi oleh unsur negatif’, seramai 40.2% pelajar sangat setuju, 52.5% setuju, 5.4% tidak pasti, 0.4% tidak setuju dan 1.6% sangat tidak setuju dengan nilai min 4.29. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia dapat memberikan pemahaman dari segi kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan yang ada di Malaysia kepada pelajar peringkat Diploma yang mengikuti kursus tersebut. Keadaan tersebut meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aspek masyarakat dan budaya sebagai salah satu usaha untuk memastikan keharmonian dapat terus dikekalkan pada masa akan datang. Kursus ini juga ternyata mampu memberikan input berguna dalam memberikan maklumat mengenai kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan Malaysia.

 

 Perbincangan Kajian

Kajian ini bertujuan mengkaji pemahaman pelajar pelbagai etnik peringkat diploma di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkaitan kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan dan dari segi mengenali secara terbuka masyarakat dan kebudayaan Malaysia selepas mereka mengikuti kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Secara ringkasnya kajian bertujuan untuk menilai keberkesanan kursus ini dari segi pengisiannya supaya sesuai dengan tahap pelajar diploma dan kesannya kepada pelajar hasil daripada pemahaman yang diperoleh dalam kursus ini. Pemahaman yang jelas tentang masyarakat dan kebudayaan Malaysia dapat menjadikan pelajar lebih matang dalam pergaulan dalam kalangan pelbagai etnik dan budaya yang ada di Malaysia. Di samping itu, pelajar juga dapat memahami cara hidup masyarakat dengan lebih baik dan mampu memberikan maklumat ini kepada keluarga dan masyarakat yang masih tidak jelas mengenai sesuatu budaya yang ada dan Malaysia. Secara tidak langsung keadaan ini dapat menyelesaikan masalah hubungan kaum dan membantu mewujudkan suasana yang harmoni di dalam negara (Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional (JPNIN), 2013).

 

Kaedah pengajaran baik dan pendedahan dengan pelbagai budaya melalui lawatan, projek anak angkat dan mengadakan seminar yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar dilihat banyak membantu mereka memahami kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan dengan lebih mendalam. Selain itu pihak kerajaan juga perlu menyediakan dana khusus untuk pelajar dalam menganjurkan program bersifat masyarakat dan kebudayaan. Melalui program tersebut, pelajar akan lebih mengenali kepelbagaian budaya dan etnik masyarakat di negara ini dengan meluas lagi dan membuka minda mereka mengenai kepelbagaian masyarakat Malaysia. Berdasarkan kepada pengalaman, kajian ini juga mampu memberikan maklumat berkaitan kehendak dan keperluan golongan muda untuk memahami budaya serta mengembangkannya dalam memastikan penyatuan budaya berkonsep Malaysia, di samping memberikan kesan yang baik kepada keamanan negara serta membangunkannya sebagai sebuah negara maju yang dinamik (Rohaty Mohd. Majzub, Salasiah Hashim & Elis Johannes, H.S., 2011).

 Penutup

Kesimpulannya, hasil kajian menunjukkan bahawa setiap responden memahami kehendak soalan yang diutarakan di dalam soal selidik. Hasil kajian juga menunjukkan maklum balas yang diberikan oleh responden adalah baik dengan kerjasama yang erat.  Walau bagaimanapun, beberapa usaha perlu ditingkatkan dan dipergiatkan lagi agar golongan remaja lebih berminat mengikuti kursus Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Kursus ini penting dalam usaha memberikan pengetahuan serta pemahaman yang jelas dan betul mengenai kepelbagaian masyarakat di Malaysia dalam kalangan pelajar pelbagai etnik di Univerisiti Pendidikan Sultan Idris supaya saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam membina negara bangsa Malaysia.

 

 

Rujukan

Abdul Rahim Hamdan, Mohd Najib Ghafar & Anis Ayuni. (2010). Fostering inter group contacts among multiracial students In Utm. Proceedings International Conference on Learner Diversity, ICELD 2010. Bangi: UKM.

Azat Khairi. (2011). Konsep 1Malaysia dan Cabaran Pelaksanaannya ke Arah Pemantapan Perpaduan Sebuah Negara Bangsa. Sociohumanika.

Cho Minsung & Puteri Roslina Abdul Wahid. (2016). Penterjemahan Budaya Bukan Kebendaan Dalam Teks Terjemahan Bahasa Korea-Bahasa Melayu. Jurnal Melayu, 160-175.

Ezhar Tamam & Madiha Hashmi. (2015). Predicting interethnic bridging social capital in youth ethnic-diversity engagement: the role of interethnic interaction and intercultural sensitivity. International Journal of Adolescence and Youth DOI: 10.1080/02673843.2015.1024697.

Hamidah Abd Rahman, Norlin Ahmad & Nor Akmar Nordin. (2011). Kajian Tinjauan Hubungan Etnik Dalam Kalangan Pelajar Tahun Satu Di Kampus Johor Bahru, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). January 2011 Jurnal Teknologi 54(1) DOI:10.11113/jt.v54.99

Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional (JPNIN). (2013). Kajian Sistem Pemantauan Hubungan Etnik di Malaysia. Bangi: Selangor

Kamus Dewan (4th. ed). (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M.Saunders, P.Lewis dan A.Thornhill. (2007). Research methods for business students, 4th edition. London: Prentice Hall.

Mansor Mohd Noor, Azlina Abdullah dan Mohd Mahadee Ismail. (2016). Mengurus dan Memahami Hubungan Etnik di Universiti Awam Malaysia. Research Journal of Social Sciences (3), 59-65.

Mohd Rizal Mohd Said & Thay Cheow Yin. (2012). Tahap Hubungan Etnik: Kajian di Kalangan Pelajar yang Mengikuti Kursus Sarjana Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup), sesi Pengajian 2007-2008, Semester 2 di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Journal of Technical, Vocational & Engineering Education, 6 (Jun), 59-72.

Mohd Syariefudin bin Abdullah, Mansor Mohd Nor, Ahmad Rizal Bin Mohd Yusof & Faridah Binti Che Husain. (2017). Konsep Komuniti dan Perkembangannya : Satu Tinjauan Kritikal Terhadap Penggunaannya. Journal of Science Social and Humanities : Vol. 12, No. 3 (2017), 022 ISSN: 1823-884x.

Newmark, P. (1988). A Textbook of Translation. Londong: Prentice Hall International.

Ramlee Mustapha, Norzaini Azman, Faridah Karim, Abdul Razak Ahmad, Maimun Aqsha Lubis. (2009). Social Integration among Multiethnic Students at Selected Malaysian Universities in Penisular Malaysia: A Survey of Campus Social Climate. AJTLHE, 1(1), 35-44.

Rohaty Mohd. Majzub, Salasiah Hashim & Elis Johannes, H.S. (2011). Cultural awareness among preschool teachers in Selangor, Malaysia. Procedia - Social and Behavioral Sciences 15, 1573-1579.

Tony Blackshaw. (2010). The Concept in Community Studies. London: Sage Publication.