Ahad, 13 November 2011

Kenaikan Harga Barangan

1.1       PENGENALAN

Barangan keperluan harian, merupakan barangan keperluan yang diperlukan oleh individu, keluarga, atau rakyat dalam meneruskan kehidupan seharian mereka. Perkara ini melibatkan keperluan makanan, perkhidmatan, pengangkutan dan barangan yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka setiap hari. Kerisauan dan keresahan pengguna tentang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung serta kegawatan ekonomi yang dialami masa kini kian mendalam. Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Mac 2011 meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada 102.2 dibandingkan dengan 99.4 pada bulan yang sama tahun lepas. Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2010, IHP Mac 2011 mencatatkan kenaikan sebanyak 3.0 peratus daripada 99.4 kepada 102.4 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, IHP merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus. Banyak lagi index lain, kajian-kajian anekdot ahli media, pengumuman rasmi prestasi syarikat, dan juga data dari kerajaan menunjukkan bahawa keadaan yang gawat ini adalah benar dan rakyat sedang menderita setiap hari. Di dalam suasana ekonomi dunia yang berubah-ubah dan tidak menentu, golongan peniaga dan pengguna di seluruh dunia merasai kesan kemelesetan ekonomi global dan kenaikan harga barang-barang keperluan harian yang sedang berlaku. Di tambah lagi dengan masalah pengurangan nilai mata wang dollar Amerika Syarikat yang berlaku dengan kadar yang cepat, ini menambahkan lagi masalah kenaikan harga barang apabila negara kita banyak mengimport  barang-barang keperluan daripada negara-negara jiran menggunakan mata wang dollar.

Kesan dan kadar inflasi yang tinggi ini memberikan impak negatif kepada pengguna di Malaysia terutamanya apabila masalah inflasi ini menyumbang kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian seperti gula, minyak masak, dan tepung. Inflasi ini juga menyumbang kepada masalah ekonomi sampingan seperti penyeludupan dan menyorokkan produk keperluan harian di pasaran.

1.2       PASARAN PERSAINGAN TERBUKA YANG IDEAL DAN SEPATUTNYA
Keadaan berbeza dengan pasaran persaingan terbuka seperti yang kita harapkan dalam pasaran bebas kini yang bermaksud sebuah pasaran yang mempunyai ramai penjual dan pengguna dalam suatu pasaran yang homogen mengikut kehendak pasaran yang bebas dari perkara yang tidak sihat seperti monopoli, manipulasi dan sebagainya. Dalam ciri-ciri pasaran persaingan sempurna terdapat enam-enam cirinya iaitu:
Ramai penjual dan pembeli – terdapat bilangan yang banyak dalam kalangan pembeli dan penjual. Oleh itu, tindakan sebuah firma atau seseorang pembeli tidak dapat mempengaruhi pasaran.

Kebebasan keluar masuk – firma-firma dari mana-mana industri bebas keluar masuk dalam industri jika ia memberi keuntungan atau kerugian kepada firma-firma tersebut. Oleh sebab itu, semua firm hanya mampu memperoleh untung normal dalam jangka panjang.

Keluaran yang homogen – keluaran yang dihasilkan oleh setiap firma dalam industri adalah sama jenis iaitu homogen. Keluaran firma-firma ini adalah merupakan pengganti sempurna antara satu sama lain. Pengiklanan tidak diperlukan kerana ia merupakan perbelanjaan untuk persaingan bukan harga.

Firma adalah penerima harga – firma tidak mempunyai kuasa mempengaruhi harga. Harga ditentukan melalui kuasa permintaan dan penawaran pasaran iaitu mekanisme harga.

Pengetahuan sempurna tentang pasaran – pembeli dan penjual mempunyai pengetahuan sempurna mengenai pasaran iaitu harga setiap barang dalam pasaran di pihak pembeli dan harga faktor pengeluaran di pihak penjual.

Faktor Mobiliti – semua faktor pengeluaran adalah bebas bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dan mudah digunakan serta faktor pengeluaran yang sama mempunyai kecekapan yang sama.
   (Ismail & Hussin, 2009)
Keadaan yang berlaku sebaliknya dengan dasar monopoli harga, peranan pihak ketiga dan dasar perlindungan kerajaan telah menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna yang telah memberi masalah kepada rakyat yang terpaksa membayar lebih.

2.1       MASALAH KENAIKAN HARGA BARANGAN PENGGUNA
Masalah kenaikan harga barangan pengguna dipengaruhi oleh banyak faktor. Keadaan ini mungkin timbul dari faktor dalaman itu sendiri, seperti cara perbelanjaan, permintaan yang lebih terhadap barangan luar negeri, tiada sumber mentah yang stabil dalam negara dan sebagainya. Keadaan ini juga disebabkan oleh masalah luaran seperti pengaruh pasaran global, masalah berkaitan dengan sumber tenaga dunia dan keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil.

2.2       KENAIKAN HARGA MINYAK
Keadaan minyak dunia kini yang melambung tinggi berada pada paras USD 100 setong memberi kesan negatif kepada industri pengangkutan negara. Perkara ini yang menjadi keresahan dan kebimbangan keseluruhan rakyat Malaysia. Pertamanya adalah kenaikan harga barangan keperluan asas. Tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka akan berlaku. Apa yang kita harapkan agar mereka tidak menaikkan harga tersebut sehingga membebankan pengguna. Wujud golongan oportunis yang akan meletakkan beban kenaikan yang ditanggung mereka kepada pengguna. Perkara ini harus dipantau oleh kerajaan dan kerjasama rakyat untuk membendung gejala ini amat-amat diharapkan. Ketika harga minyak meningkat, harga bagi hampir semua barangan naik antara 15 peratus dan 30 peratus. Kos operasi turut naik antara 30 dan 40 peratus.

Daripada barang makanan hingga kepada tambang pengangkutan, semuanya mengalami kenaikan harga atas alasan harga petrol dan diesel telah naik. Peniaga naikkan harga secepat kilat. Tetapi kini, setelah harga petrol dan diesel diturunkan oleh kerajaan sejak lebih dua bulan lalu, terlalu banyak peniaga yang masih enggan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna. Penurunan harga bahan api mungkin tidak disenangi oleh golongan peniaga. Mereka akan beri seribu satu alasan. Tetapi sikap tamak dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna mungkin sukar dinafikan jika peniaga terlalu mengira dari sudut untung rugi.

Umum mengetahui kadar kenaikan harga minyak mentah yang tinggi terpaksa ditanggung oleh semua lapisan peniaga dan pengguna di Malaysia berbanding pada tahun 80an dan 90an. Penggunaan sumber bahan api berasaskan petroleum masih lagi merupakan sumber tenaga yang efisien dan menjimatkan berbanding sumber tenaga alternatif yang ternyata lebih mahal untuk dibangunkan dan digunakan seperti sumber tenaga berasaskan bahan makanan dari jagung, minyak sawit dan sebagainya. Malah, penggunaan sumber tenaga alternatif seperti ini akan menambahkan lagi masalah inflasi dengan meningkatkan harga barang-barang makanan pada kadar yang terlampau tinggi dan tidak dapat ditampung oleh semua pihak (Ahmad Syah, 2008).

2.3       PASARAN BEBAS
Kehendak ekonomi global kini lebih menekankan kepada pasaran bebas, ini bermakna negara kita terpaksa menerima kemasukan barangan asing tanpa ada sekatan dan pada masa yang sama juga barangan tempatan terpaksa bersaing dengan mereka. Kebaikannya kualiti dan harga produk yang ditawarkan akan lebih rendah mengikut harga tempatan.

Negara kita mengamalkan dasar ekonomi terbuka dengan memegang kepada prinsip keterbukaan pasaran dalam masa yang sama bertindak melindungi kepentingan sesetengah syarikat besar pengeluar barang-barang keperluan harian utama di Malaysia. Dasar melindungi kepentingan syarikat pengeluar makanan seumpama seperti di atas adalah pada asasnya untuk membantu syarikat pengeluar makanan seperti ini untuk membentuk harga pasaran yang lebih tinggi dari margin keuntungan perbandingan dengan perbelanjaan kos pengeluaran. Kaedah ini seterusnya boleh mendatangkan keuntungan terutamanya dalam aspek pengeluaran produk makanan dan pertanian yang tidak menguntungkan di dalam sistem ekonomi pasaran bebas.

Seterusnya dasar perlindungan dan ketergantungan kepada syarikat pengeluar bahan makanan utama ini adalah bagi memenuhi kehendak pengguna domestik sahaja dan keperluan masyarakat di dalam negara. Walaupun sistem pasaran bebas di kalangan pengeluar produk makanan dunia menawarkan harga yang lebih rendah dan kompetitif berbanding syarikat pengeluar makanan harian (gula, tepung, dan minyak masak) yang beroperasi secara domestik di Malaysia.

Ini menimbulkan masalah penyeludupan barang-barang perlu ke luar negara yang boleh dijual pada kadar yang lebih menguntungkan dan juga kekurangan barangan itu sendiri di dalam pasaran domestik apabila syarikat pengeluar ini mulai rugi dalam pengeluaran produk keperluan seumpama yang sebelum ini dipasarkan pada harga nominal sebagai memenuhi kehendak pengguna domestik dengan memegang kepada prinsip dan nilai tanggung jawab "national service". Keadaan ini menyebabkan harga subsidi yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat tidak sampai ke tangan mereka. Untuk mengatasinya kerajaan terpaksa mengurangkan harga subsidi atau menjalankan penguatkuasaan untuk mengatasinya.

Dari satu segi lain, kebergantungan rakyat Malaysia terhadap barangan import juga dilihat sebagai salah satu keburukan dalam ekonomi bebas. Antaranya kita mempunyai permintaan yang tinggi terhadap barang makanan import. Dalam tempoh lima tahun, data dari Kementerian Pertanian menunjukkan bahawa bilangan makanan import Malaysia mengalami pertambahan sebanyak 85% kepada RM21.5 bilion pada tahun 2007 dari RM11.6 billion pada tahun 2003. Senarai dalam kategori umum telah mencecah 35 jenis barangan, dan senarai spesifik merangkumi beratus jenis barang makanan dari pelbagai Negara.

Dari tahun 2003-2007, import untuk bekalan susu dan hasil tenusu yang lain (selain keju dan mentega) telah meningkat sebanyak 100%, dari RM1.1 billion kepada RM2.2 billion. Permintaan untuk bekalan ikan pula mengalami kenaikan dari RM828 juta kepada RM1.2 billion (45%), gandum sebanyak 99% dari RM653 juta kepada hampir RM1.3 billion, manakala permintaan untuk bekalan daging lembu pula mengalami kenaikan sebanyak 69% dari RM439 juta kepada RM740 juta. Bekalan makanan yang mencukupi merupakan agenda utama kebanyakan negara membangun di rantau Asia, terutamanya bekalan beras ketika krisis bekalan makanan. Memandangkan situasi ini semakin memuncak, bekalan makanan negara kita akan menghadapi risiko. Ketergantungan kita kepada negara lain untuk bekalan makanan meletakkan negara kita dalam pergolakan harga pasaran dunia.

2.4       MONOPOLI SYARIKAT GERGASI
Dengan adanya sistem pasaran terbuka, syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Nestle, Monsanto, Krafts dan lain-lain telah mendominasi pasaran negara-negara membangun, dengan dasar monopoli ini mereka memaksa pengguna untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah atau kos pengangkutan, menyebabkan pengguna terpaksa membayarnya dan pada masa yang sama mereka mendapat keuntungan yang banyak dengan memanipulasi kenaikan harga barangan.

Syarikat multinasional yang menguasai rangkaian bekalan dan pemasaran dalam sektor makanan yang dilihat sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kenaikan harga makanan. Sebagai contoh, Monsanto memiliki 60% daripada pasaran biji-bijian dunia. Nastle bersama pengusaha lain seperti Krafts dan general Food secara relatifnya menakluki pasaran makanan global. Apabila adanya kuasa pasaran seperti ini, penyerapan kos adalah dijangka minimum dan segala kos yang berlebihan akan disalurkan kepada pengguna melalui kenaikan harga. Memandangkan wujudnya kuasa monopoli oleh korporat gergasi seperti ini, dan kekurangan perundangan untuk memupuk persaingan adil di pasaran, secara amnya tiada sebarang cara yang dapat menghalang mereka daripada memanipulasikan harga untuk keuntungan yang berlipat ganda.

Seperti contoh, Nestle mengumumkan keuntungan tiga kali ganda pada suku keempat tahun 2008, dan sebabnya walaupun harga jualan telah meningkat, tiada penurunan pada kuantiti jualan. Ini menjelaskan mengapa tiada penurunan harga barangan makanan walaupun terdapat penurunan pada harga borong komoditi makanan (Zulkifli Mat, 2010). Keadaan ini memberi tekanan kepada pengguna, yang sepatutnya boleh mendapatkan harga yang rendah, kerana tiada peruntukan undang-undang yang jelas menyebabkan syarikat gergasi dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

2.5       PERANAN ORANG TENGAH
Peranan orang tengah juga dilihat sebagai punca utama menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna, terutama barangan yang berkaitan dengan makanan. Peranan orang tengah yang dilihat cuba mengambil kesempatan dari kedua belah pihak pengguna dan peniaga, menyebabkan harga barangan pengguna terus meningkat. Mereka selalu berada dalam situasi yang menguntungkan kerana boleh mendapat keuntungan daripada kedua-dua pihak, iaitu pengeluar dan pengguna.

Kebanyakan menetap dan membeli barangan daripada petani dengan harga yang rendah dan menjual barangan yang sama dengan harga yang jauh lebih tinggi kepada peniaga dan pengguna. Mekanisme harga dan operasi kartel harus dikaji dengan lebih teliti kerana ia akan menjadi penghalang kepada kemasukan pasaran tempatan dan mengurangkan persaingan. Keadaan ini tidak adil kepada pengguna, yang sepatutnya mereka, memperoleh barangan dengan harga yang murah. Kerana manipulasi pihak ketiga menyebabkan mereka terpaksa membayar harga yang mahal.

Keadaan ini menyebabkan pengguna terpaksa membayar lebih untuk memperoleh sesuatu barangan yang sepatutnya, mereka boleh memperoleh dengan harga yang murah. Keadaan ini menyebabkan harga sesuatu barangan akan sentiasa naik kerana telah dimanipulasikan oleh pihak ketiga iaitu orang tengah.

2.6       MASALAH KETIDAKTENTUAN CUACA DUNIA KINI
Masalah ada hubung kait dengan masalah pemanasan global dan ketidakseimbangan keadaan ekologi dunia, telah memberi kesan kepada keadaan cuaca yang seterusnya menyebabkan malapetaka telah berlaku.

Sebagai contoh, ketika dilanda musim tengkujuh, harga sayur-sayuran akan naik secara mendadak. Sayur sawi pernah mencecah harga sebanyak RM8 sekilo manakala cili merah kini telah mencecah harga RM15 sekilo sebagai harga runcit.   Sejak beberapa tahun ini, negara pengeluar makanan terutama seperti negara Thai, Rusia, India dan Kanada sering mengalami pelbagai musibah yang berkaitan dengan pemanasan global. Hasil tanaman mereka mengalami kemerosotan. Akibatnya, kerajaan negara berkenaan sanggup mengehadkan eksport hasil tanaman dan ternakan  seperti beras, bahan tenusu, tepung gandum, bawang dan lain-lain ke luar negara sehingga harga barang makanan di pasaran antarabangsa turut menjulang.  Rentetan daripada itu, rakyat kita terpaksa membeli barang makanan yang semakin mahal. Keadaan ini diburukkan lagi, bahan makanan tersebut merupakan makanan asasi rakyat negara ini seperti beras.

Tanaman padi di Malaysia hanya mampu menampung keperluan sekitar 40% sahaja keperluan negara. Selebihnya pihak kerajaan melalui Syarikat Bernas akan mengimportnya dari negara luar, seperti Thailand, Kemboja, India untuk memenuhi keperluan negara. Masalah bencana alam, yang telah dialami oleh negara-negara berkenaan menyebabkan mereka memberhentikan atau mengurangkan eksport beras ke Malaysia. Menyebabkan berlaku kenaikan harga beras yang ketara di pasaran dunia dan memberi kesan kepada rakyat negara kita terutamanya dari segi kenaikan harga.

3.1       DAPATAN DARI ISU-ISU KENAIKAN HARGA BARANGAN PENGGUNA
Untuk mengetahui dengan lebih baik, kajian telah dilakukan untuk membuktikan isu-isu berkaitan di atas telah memberi impak kepada kenaikan harga barangan pengguna ataupun tidak.

3.2       KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK DUNIA
Memang tidak dinafikan kenaikan harga minyak telah menyebabkan kenaikan kos pengangkutan dan seterusnya mempengaruhi harga barangan. Adakah kenaikan harga minyak merupakan faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna di Malaysia? Untuk membuktikannya kita boleh lihat perbandingan harga minyak di negara Asean dan harga barangan yang sama di negara berkenaan untuk menilai faktor kenaikan harga minyak kepada harga barangan tersebut.

Secara perbandingan, harga petrol (lebih dikenali sebagai ‘gasolin’ di Amerika Syarikat) di Malaysia ialah yang kedua termurah di antara 7 buah negara-negara jirannya di Asia Tenggara. Jika dibuat perbandingan harga gula di Malaysia RM 1.45 sen sekilogram dengan harga minyak petrol RM1.90 sen seliter dengan harga gula di Thailand RM1.84 sen sekilogram dengan harga minyak petrolnya RM3.91 sen seliter. Menunjukkan harga pengangkutan di Thailand dapat menawarkan harga yang lagi murah berbanding dengan harga di Malaysia. Keadaan ini jelas menunjukkan kenaikan harga minyak bukan faktor utama yang mempengaruhi harga barangan pengguna.


Kerajaan ini telah memberikan banyak subsidi bagi perkara yang berkaitan dengan barangan atau keperluan pengguna. Seperti subsidi diesel untuk nelayan, bot penumpang sungai, kenderaan darat dan juga gas. Bagi mengurangkan kenaikan kos sistem pengangkutan. Keadaan ini jelas, menunjukkan kenaikan bahan sebenarnya telah ditampung oleh pihak kerajaan melalui subsidi dan kenaikan harga barangan pengguna oleh sebab kenaikan tidak sepatutnya berlaku. Pengguna seharusnya mendapat menikmati seperti sebelum tanpa kenaikan harga barangan.


3.3       FAKTOR PASARAN BEBAS

Dengan ada pasaran bebas seperti Asean Free Trade Area (AFTA), menyebabkan negara terpaksa membuka pasarannya kepada barangan negara Asean tanpa ada sekatan ataupun cukai. Namun pihak kerajaan masih lagi tidak membuka sepenuhnya ruangan bagi barangan negara luar untuk memasuki pasaran negara kita. Keadaan ini perlu, untuk memberi masa dan meningkat kualiti pengeluar dan produk tempatan supaya mampu bersaing.

Jika tidak syarikat atau pengeluar produk tempatan akan gulung tikar kerana ketidakmampuan untuk bersaing dengan negara pengeluar pertanian yang maju seperti Thailand, Singapura dan negara jiran Asean seperti China, Taiwan dan Korea Selatan yang mempunyai kemampuan menawarkan produk yang berkualiti dengan harga yang lebih murah. Keadaan ini menyebabkan pengguna tiada pilihan untuk membeli barangan tersebut, walaupun harganya mahal seperti produk pertanian beras. Jika dibuat perbandingan harga beras Thailand dengan kualiti yang baik dapat dibeli murah melalui aktiviti penyeludupan di sempadan.

Tetapi penduduk tempatan terpaksa membeli beras tempatan dengan harga yang mahal tetapi berkualiti rendah. Hal ini diakui oleh setiap negeri yang bersempadan dengan Thailand, di mana mereka lebih suka menggunakan beras Siam dari beras tempatan. Keadaan ini tidak menguntungkan pengguna, lebih-lebih lagi kerajaan hanya memberi kebenaran atau lesen tunggal untuk mengimport beras hanya kepada Syarikat Bernas sahaja untuk mengimport beras dan mereka yang mengawal harga bagi makanan rugi rakyat Malaysia. Monopoli ini tidak menguntungkan rakyat yang terpaksa membayar harga yang mahal.

Pada masa yang sama juga pasaran bebas memberikan kelebihan kepada rakyat untuk memilih barangan pengguna berdasarkan harga yang ditawarkan. Kesan globalisasi juga telah membawa kepada perubahan kepada cara perniagaan dijalankan pada hari ini. Jumlah perdagangan global makanan adalah amat besar dan terdapat peningkatan yang signifikan dalam kuantiti dan variasi makanan yang didagangkan. Malaysia sebagai ahli WTO terikat dengan beberapa perjanjian global, dan bawah perjanjian GATS, Malaysia terikat secara udang-undang untuk mengurangkan perlindungannya atas pasaran domestik. GATS bertujuan untuk mempromosikan perdagangan global dan mengalihkan halangan perdagangan dengan menggalakkan penswastaan. Pengalaman lepas mengesahkan bahawa penswastaan berkait langsung dengan peningkatan harga barangan. WTO juga memberi impak kepada pengguna dalam corak perbelanjaan dan kepenggunaan. Implikasi dari GATS juga telah menyebabkan pasaran menjadi lebih agresif dan bersaing tinggi.

Dari segi pasaran bebas, keadaan ini bergantung pada permasalahan tertentu. Seperti dasar perlindungan terhadap sesuatu barangan atau syarikat, dilihat tidak begitu menguntungkan pengguna. Mereka terpaksa mendapatkan barangan tertentu dengan kualiti yang tidak baik, tetapi terpaksa membayar harga yang mahal. Sebaliknya barangan yang baik pula boleh didapati, tetapi terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal kerana cukai yang dikenakan untuk melindungi barangan tempatan. Begitu juga monopoli pasaran oleh syarikat multinasional, yang mengenakan kos operasi mereka untuk ditanggung oleh pengguna, dilihat antara punca berlakunya kenaikan harga barang. Yang pasti dengan pasaran bebas juga pengguna mempunyai pilihan untuk membeli sesuatu barangan dan tidak bergantung hanya pada satu sumber. Perbandingan harga boleh dibuat, bermakna pengguna yang mengawal kenaikan harga barangan. Pada masa yang sama pengguna yang akan menilai tahap kualiti dan keperluan barangan dan bijak mengawal keperluan.

3.4       FAKTOR MONOPOLI
Dari segi monopoli harga barangan oleh syarikat multinasional kerana pengaruh pasaran bebas seperti Nestle, Kraft, dan sebagainya, telah melihat penguasaan mereka dalam menentukan harga barangan pengguna. Sebagai contoh, kenaikan harga susu tepung yang dilihat naik secara mendadak, dari USD 2100 setan pada tahun 2009 kepada USD 3000 pada tahun 2010. Jika dilihat dari segi relatifnya walaupun ada kenaikan sebanyak USD 900 setan susu dalam masa setahun. Keadaan ini masih boleh diimbangi, kerana faktor permintaan dan keperluan juga naik secara mendadak sebanyak 30% dalam pasaran dunia kerana pasaran bebas telah dijalankan hampir separuh negara di dunia. Pasaran negara besar seperti China, Rusia dan bekas tanah jajahan telah memperlihatkan kadar permintaan semakin bertambah sehingga tidak mencukupi, menyebabkan kenaikan harga bahan mentah.

Apabila adanya kuasa pasaran seperti ini, penyerapan kos adalah dijangka minimum dan segala kos yang berlebihan akan disalurkan kepada pengguna melalui kenaikan harga. Memandangkan wujudnya kuasa monopoli oleh korporat gergasi seperti ini, dan kekurangan perundangan untuk memupuk persaingan adil di pasaran, secara amnya tiada sebarang cara yang dapat menghalang mereka daripada memanipulasikan harga untuk keuntungan yang berlipat ganda. Seperti contoh. Nestle mengumumkan keuntungan tiga kali ganda pada suku keempat tahun 2008, dan sebabnya ialah walaupun harga jualan telah meningkat, tiada penurunan pada kuantiti jualan. Ini menjelaskan mengapa tiada penurunan harga barangan makanan walaupun terdapat penurunan pada harga borong komoditi makanan (Zulkifli Mat, 2010).

Jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tidak dapat menolak jika pengeluar mahu menaikkan harga bahan itu kerana tidak dapat mengawal harga barangan import. Jika pihak kerajaan cuba menghalang pengilang menaikkan harga susu tepung tanpa lemak, mereka akan bertindak menghentikan pengeluaran kerana tidak mahu rugi berikutan kos penggunaan bahan mentah semakin mahal. Katanya, bahan import yang digunakan pengilang tidak dapat dikawal kementeriannya kerana mereka berhak menjual produk dihasilkan dengan harga mahal berikutan penggunaan bahan import. Jelasnya lagi, pengguna perlu bijak merancang perbelanjaan kerana pengilang memainkan peranan utama menentukan kenaikan harga sesuatu barangan katanya. (Tuty Haryanti, 2008).

3.5       PERANAN ORANG TENGAH
Keadaan ini antara faktor utama yang menyebabkan kenaikan harga barangan pengguna, terutama melibatkan barangan makanan mentah seperti sayur-sayuran, daging dan ikan. Harga sebenar seperti sayur-sayuran adalah rendah, tetapi harga ini telah dimanipulasikan oleh orang tengah yang kemudiannya menjual dengan harga yang mahal kepada pengguna dengan pelbagai alasan seperti susah didapati, kenaikan harga petrol, tanaman diserang penyakit dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya bagi para petani yang dibayar dengan harga yang rendah oleh orang tengah dengan alasan, produk mereka tidak berkualiti, harga yang ditawarkan rendah. Keadaan ini menyebabkan orang tengah dapat  keuntungan yang berlipat kali ganda. Golongan orang tengah ini dikenali dengan gelaran kartel, antara punca penyebab kenaikan harga barangan pengguna.

3.6       FAKTOR CUACA DUNIA
Dengan perubahan iklim dunia yang mengancam pengeluaran hasil tani, kebanyakan negara membangun sedang mengurangkan eksport bahan makanan untuk memenuhi permintaan tempatan. Sebagai contoh, Vietnam sedang mengurangkan eksport beras kerana masalah banjir yang membawa kepada pengurangan jumlah beras yang dihasilkan. Musim kemarau yang berlarutan pula mengurangkan pengeluaran gandum. Mencapai keseimbangan dalam import dan eksport makanan adalah kritikal dan bersama dengan persaingan dalam pasaran, akan memastikan pengguna mendapat barangan berkualiti dengan harga berpatutan (Zukifli Mat, 2010). Bencana alam yang melanda India dan Bangladesh telah menyebabkan tempiasnya melanda negara kita. Januari 2011, harga bawang dari India melonjak naik 50% dari harga biasa, keadaan ini disebabkan pengeluaran yang rendah berikutan banjir yang melanda kawasan penanaman bawang di negeri Andhara Paresh dan Karnataka menyebabkan kenaikan harga bawang di pasaran sekarang iaitu, RM 6 sekilogram bagi bawang merah besar, RM 10 sekilogram bagi bawang merah kecil dan RM 12.50 bagi bawang merah ros. Dalam ini pihak kerajaan tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga barangan import tersebut. Faktor ini memainkan peranan penting dalam menentukan kenaikan harga barangan pengguna.

4.1       UNTUK MENGATASI MASALAH KENAIKAN HARGA BARANGAN PENGGUNA
Bagi mengatasi masalah kenaikan harga barangan pengguna, terdapat beberapa pendekatan yang melibatkan kedua belah pihak iaitu pihak pengguna sendiri dan seterusnya pihak kerajaan bagi memastikan harga barangan di pasaran berada dalam tahap sesuai atau rendah bagi menjamin keselesaan kehidupan. Melaluinya kedua belah pihak dapat memberi tumpuan dalam memajukan negara antara langkahnya ialah:

4.2       PERANAN PENGGUNA DALAM BERBELANJA
Pengguna pada masa ini harus menilai kembali perbelanjaan mereka harus tumpukan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sahaja. Aktiviti yang membazirkan seperti meminum arak, berjudi dan merokok seharusnya dihentikan, kerana ia bukan sahaja mahal tetapi juga membahayakan kesihatan. Bayangkan seseorang yang membeli tiket loteri sebanyak RM 30 seminggu, dalam setahun sudah membelanjakan sebanyak RM 1,560 yang boleh dijadikan simpanan ataupun untuk membiayai ansuran.

Merokok dan meminum arak merupakan kegiatan seharian yang amat merugikan. Lebih dari 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat penyakit yang disebabkan oleh aktiviti merokok atau meminum arak, dan banyak lagi yang menderita kerananya sama ada dari kerosakan hati, keganasan domestik, ataupun kemalangan disebabkan pemandu mabuk. Kajian MOH menunjukkan bahawa 12.2% dari populasi rakyat Malaysia yang dewasa meminum minuman beralkohol

Satu contoh lagi adalah perbelanjaan atas telefon bimbit. Malaysia berada di tempat keenam pada tahun ini dalam jumlah pesanan ringkas(SMS) yang dihantar melonjak lebih dari 20% dari tahun lepas. Sejumlah 50 billion SMS telah dihantar oleh 23.3 juta pengguna. Berdasarkan MAXIS sahaja, pelanggannya menghantar lebih dari 100 juta SMS sehari dengan purata 13 SMS per individu. Caj yang dikenakan adalah biasanya dari 5sen sehingga 15sen, dan perbelanjaan untuk SMS sahaja boleh mencecah angka yang tinggi, dan ini tidak termasuk panggilan-panggilan yang dibuat. Selain itu juga ada ASTRO. Sehingga Julai 2008, terdapat 2.4 juta pelanggan kediaman, merangkumi 43% dan jumlah isi rumah.

Dengan kos bulanan untuk pakej termurah sebanyak lebih kurang RM40, dan kebanyakan pengguna membayar purata bil sebanyak RM100 sebulan. la sebenarnya perbelanjaan yang boleh dielakkan. Pengurangan dalam aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan sebegini membolehkan penjimatan yang ketara setiap bulan, dan wang nya boleh digunakan untuk membiayai keperluan asas harian (Zulkifli Mat, 2010).

4.3       MENUBUH SURUHANJAYA HARGA
Dengan penubuhan sebuah badan seperti Suruhanjaya Harga dapat membantu pihak kerajaan dalam mengawal harga barangan pengguna dengan harga yang sepatutnya tanpa ada manipulasi kerana mahu mengaut keuntungan yang berlebihan. Negara-negara maju seperti Australia dan United Kingdom sudah wujud badan khas yang mengawal harga barangan pengguna supaya tidak ada manipulasi harga yang menyebabkan kenaikan harga barangan tersebut.

Di negara membangun seperti Kenya dan Jamaica, ada badan kawal selia harga seperti Suruhanjaya Monopoli dan Harga serta Suruhanjaya Perniagaan Adil yang telah wujud lebih sedekad untuk memastikan perkhidmatan utiliti awam berada pada tahap yang berpatutan. Di Singapura, wujud Suruhanjaya Persaingan dan Akta Amalan Perniagaan Adil untuk memastikan harga dan mutu barangan serta perkhidmatan pengguna berpatutan

Dengan penubuhan Suruhanjaya Harga akan menggalakkan kecekapan ekonomi Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna negara ini melalui kawalan ke atas amalan anti-saingan serta tindakan dominasi pasaran. Pada masa yang sama kebajikan rakyat akan terlaksana daripada kegiatan tidak baik dalam menaikkan harga barangan pengguna.

4.4       MEWUJUDKAN STOK PENIMBAL
Inisiatif menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan pula dilihat sebagai jalan keluar kepada krisis kekurangan bekalan barangan keperluan pengguna. Petrol dan minyak masak adalah antara barangan yang dikatakan akan dimasukkan dalam senarai Stok Penimbal Kebangsaan ini.

Secara umumnya, bekalan barangan keperluan harian bergantung kepada pengeluar atau pengimport. Bagi barangan yang diimport seperti tepung, sebahagian daripada sayur-sayuran dan hasil tangkapan laut, bekalan tempatan sudah pasti terjejas apabila berlaku masalah di negara sumber.

Dengan adanya stok penimbal ini, apabila berlaku kekurangan, kerajaan dapat mengeluarkan bekalan daripada stok penimbal bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi. Ini dapat menstabilkan harga dengan  menyenaraikan barangan yang perlu dimasukkan ke dalam stok penimbal adalah barang keperluan asas dan kegunaan harian antaranya tepung, gula, minyak masak, beras, garam, ayam dan daging.

4.5       PERANAN AGENSI YANG BERKAITAN DENGAN BIDANG PERTANIAN
Sebagai sebuah negara membangun Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk membangunkan bidang pertanian, dalam memberikan pulangan yang baik kepada rakyat, terutama dari segi penurunan harga barangan makanan. Dengan kemudahan teknologi kita dapat mengurangkan ketergantungan kepada makanan luar. Galakkan kempen untuk buah-buahan tempatan seperti rambutan durian, jambu dan sebagainya dapat mengurangkan ketergantungan terhadap import buah-buahan luar.

Mengusahakan kembali tanah terbiar, untuk tujuan penanaman makanan, itu dengan sendirinya dapat memberi pulangan yang baik dan pada masa yang sama keperluan pertanian makanan tersebut dapat menampung pasaran tempatan. Dengan sendirinya harga barangan tersebut akan rendah.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai lebih kurang 200 kelab golf dan jumlah hektar tanah yang sudah digunakan berjumlah 13,090 hektar. Kita dikurniakan dengan iklim tropika dan tanah yang subur, namun terdapat banyak lagi tanah terbiar yang belum diusahakan. FELDA memiliki 20,000 hektar tanah terbiar yang tidak sesuai untuk penanaman kelapa sawit, dan adalah wajar ia diusahakan untuk tanaman makanan (Zulkifli Mat, 2010).

4.6       PERLU ADA MAKLUMAT
Pihak kerajaan melalui Kementerian Koperasi Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengambil langkah pro aktif dalam memberikan maklumat mengenai kenaikan harga barang. Pada masa yang sama agensi minat bertindak sebagai sebuah badan dalam mengawal kemasukan barangan makanan dan keperluan harga yang ditawarkan itu, supaya pengguna akan dilindungi. Pada masa yang sama memberi maklumat awal kepada pengguna mengenai masalah yang bakal dihadapi dan mereka lebih awal akan bersedia menghadapinya secara berhemah. Melalui maklumat itu juga pengguna mungkin mempunyai alternatif lain, untuk digunakan bagi mengatasi kekurangan mereka

5.0       KESIMPULAN
Dengan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangani kenaikan harga barangan supaya pihak hendaklah bersatu, ini penting dengan mengambil langkah-langkah yang dijelaskan di atas, pengguna dan kerajaan dapat bersama-sama mengatasi masalah kenaikan harga terutama melibatkan barangan import. Juga pada masa yang sama peranan pengguna sendiri juga penting dalam ketergantungan kepada barangan import yang telah menyebabkan kenaikan harga kerana lebihan permintaan. Peranan pihak kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat akan lebih terjamin

Rujukan



Ahmad Syah Ejaz Ismail. (2008). Menangani Masalah Kenaikan Harga Barang Dan Inflasi Dunia. Dilayari pada 30 Julai 2011, dari http://tunteddy.blogspot.com/2008/03/menangani-masalah-kenaikan-harga-barang.html.

Ismail Said & Hussin Abdullah. (2009). Pengajian Sosial 2. Shah Alam: Karisma Publication Sdn. Bhd.

Subsidi Petroleum 2010. Dilayari pada 31 Julai 2011, dari http://www.kpdnkk.gov.my/kpdnkk-theme/images/pdf/statistik/petroleum.pdf

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi. (2008). Bahan makanan di pasaran dunia meningkat sejak tahun lalu. Berita Harian.

Zulkifli Mat. (2010). Isu Kenaikan Harga. Bersama Dato Marimuthu Nadison. Dilayari pada 29 Julai 2011, dari http://www.pahangkini.net/rencana/tamu-a-wawancara/139-isu-kenaikan-harga